KUALA LUMPUR — Dua anggota Pasukan Penyelam di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berdepan situasi mendebarkan ketika melakukan selaman awal pagi tadi bagi mencari wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India Jumaat lalu.
Pemerhatian di lokasi mendapati dua penyelam lengkap berpakaian skuba turun ke lubang itu pada 3.06 pagi dengan diawasi rapi anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Selaman itu dilakukan selepas JBPM mengesan halangan berupa objek tersekat antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua sejauh kira-kira 80m semalam.
Bagaimanapun, tidak sampai setengah jam, mereka ditarik keluar dari lubang berkenaan dengan bantuan anggota lain sebelum dinyahkuman dan dibersihkan.
Ketika dihampiri Bernama, seorang penyelam sempat memaklumkan mereka tidak dapat menghampiri lokasi objek tersekat disebabkan arus air dalam lurang kumbahan.
Setakat 4.30 pagi tadi, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan JBPM kepada media yang menanti sejak tengah malam berhubung usaha terbaharu SAR itu.
Semalam, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Ahmad Izram Osman dilaporkan berkata halangan berupa objek tersekat itu dikesan dua anjing Unit Pengesan (K9), Denti dan Frankie, yang dibawa ke lokasi kejadian pada petang Selasa, selain pengesanan kamera.
Susulan itu, kerja menyedut air kumbahan bermula lewat malam tadi bagi memudahkan pergerakan penyelam yang dibantu 75 anggota mengawal jentera dan logistik.
Insiden tanah jerlus itu menyebabkan Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam 8m dengan operasi SAR memasuki hari ketujuh hari ini.