KUALA LUMPUR — Berbaki dua lagi lurang kumbahan yang perlu diperiksa pasukan penyelamat dalam operasi pencarian wanita warga asing yang terjatuh dalam lubang benam di Masjid India di sini, hari ini.
Ini bermakna operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula sejak semalam sudah memeriksa empat daripada enam lurang kumbahan, namun mangsa masih belum ditemui.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, dua lurang kumbahan akan diperiksa membabitkan kawasan di Dataran Merdeka dan Bulatan Kinabalu menghala ke Pantai Dalam.
“Sekiranya selepas operasi berakhir di kolam kumbahan dan mangsa tidak dijumpai juga, kita akan mengadakan perbincangan semula dengan pihak bertanggungjawab termasuk bomba, polis, Indah Water Konsortium(IWK) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melihat apa tindakan seterusnya.
“Berapa lama operasi ini akan selesai, kita belum dapat tentukan lagi,” katanya dalam sidang media selepas melawat lokasi kejadian di Masjid India di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman serta Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat.
Mengulas lanjut, Zaliha berkata, pihaknya juga akan meneliti laporan penuh kejadian selepas operasi pencarian ditamatkan bagi mengenalpasti punca kejadian dan langkah mengatasinya.
“Pelbagai spekulasi timbul susulan kejadian ini, tapi kita perlu tunggu laporan penuh.
“Kita akan buat semula pemetaan untuk mendapatkan maklumat daripada semua pihak termasuk geologi untuk melihat bagaimana usaha memastikan kawasan ini dan sekitar selamat,” katanya.
Selain itu, beliau yang turut melawat ahli keluarga mangsa di lokasi berkata, pihaknya akan memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga terbabit dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan membantu menyediakan khidmat kaunseling kepada mereka.
Terdahulu, media melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga asing yang terjatuh ke dalam lubang benam diteruskan selepas lebih 24 jam hilang dipercayai dihanyutkan arus deras paip kumbahan bawah tanah.
Sulizmie Affendy dilaporkan berkata, operasi diperluaskan lagi membabitkan enam lurang pembetung di sekitar ibu negara.
Enam lokasi terbabit di hadapan Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Lebuh Pasar, dan Bulatan Kinabalu.
Pencarian mangsa, Vijayaletchumi, 48, yang berasal dari Andhra Pradesh, India itu dijangka diteruskan dalam masa terdekat selepas dihentikan jam 1 pagi tadi susulan cuaca hujan lebat.