Nation
180

Tanah runtuh : 26 laporan polis isu keselamatan, kerosakan harta benda diterima

Kuala Lumpur – Polis setakat ini menerima 26 laporan daripada penduduk berkaitan keselamatan dan kerosakan harta benda mereka susulan kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata pihaknya mengenal pasti 110 penduduk yang terkesan akibat kejadian itu dengan seorang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), manakala selebihnya tinggal di rumah keluarga untuk sementara waktu ini.

“Ada penduduk yang bimbang dengan isu keselamatan harta benda mereka selepas diarahkan berpindah akibat kejadian itu, dan sejak hari kejadian kami menempatkan seorang pegawai bersama 10 anggota setiap hari untuk mengawal keadaan, dan mengawasi pergerakan keluar serta masuk penghuni untuk mengambil barangan bernilai mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, hari ini.

Beliau berkata berkata pihaknya dimaklumkan oleh jabatan berkaitan bahawa tiada lagi pergerakan tanah dikesan di kawasan berkenaan.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Zafrul Fazry Mohd Fauzi yang turut ditemui di tempat kejadian berkata berkata masih terlalu awal untuk pihaknya mengesahkan punca kejadian tanah runtuh itu.

“Masa tiga hari diberikan kepada jabatan dan agensi untuk mencari punca kejadian… masih terlalu awal untuk simpulkan penyebab utama kejadian ini,” katanya.

Semalam media melaporkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan ketika membuat tinjauan di lokasi berkata pembinaan struktur tambahan yang melanggar undang-undang dan garis panduan dikenal pasti antara punca menyebabkan insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights.

Takiyuddin berkata laporan lengkap mengenai insiden itu yang sedang disiapkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dijangka siap hari ini, dan akan dijadikan panduan kepada agensi serta jabatan lain untuk membuat tindakan susulan.

Dalam insiden tanah runtuh itu, tiga rumah banglo dan 12 rumah bandar membabitkan 27 keluarga terjejas, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu