Social
387

Tanda tanya lelaki tidak keluar bilik terjawab

Ipoh – Tanda tanya seorang lelaki  tidak keluar bilik hampir seharian, terjawab apabila menemukannya terbaring tidak bernyawa di atas katil rumah di Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata pekerja swasta berusia 20-an itu ditemukan ahli keluarga dalam keadaan tidak bernyawa di dalam bilik yang berkunci.

“Mangsa dikatakan tidak keluar bilik sejak dari pagi dan tidak bangun-bangun selepas pintu diketuk.

“Keluarga kemudiannya meminta bantuan jiran membuka pintu bilik yang terkunci dari dalam sebelum menemui mangsa dalam keadaan terbaring,” katanya, lapor BH Online.

Yahaya berkata, terdahulu pihak polis menerima panggilan daripada pihak forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada jam 6.30 petang bagi menjalankan siasatan atas satu kematian.

“Kita ada menemui satu mayat yang terbaring di atas katil. Pada mulanya kematian dilihat dalam keadaan mencurigakan, seolah-olah ada unsur jenayah, berikutan beberapa ikatan tali pada badan mangsa.

“Namun, apabila diperiksa secara dekat ia bukanlah satu ikatan yang boleh mematikan mangsa dan siasatan dijalankan didapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku dalam bilik tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, polis turut menemui satu cecair yang akan dihantar ke jabatan kimia untuk diketahui apa kandungannya.

Katanya, kes disiasat sebagai kematian mengejut dan mayat akan dibedah siasat hari ini untuk mendapatkan punca sebenar kematian mangsa.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu