Social
271

Tangan kanan mangsa samun terpaksa dipotong

Kuala Lumpur – Tangan kanan remaja perempuan yang cedera selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian samun motosikal di Jalan Kuching, di sini, pada Khamis lalu, terpaksa dipotong.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, doktor yang merawat gadis berusia 17 tahun itu terpaksa memotong tangan kanannya pada Jumaat lalu bagi menyelamatkan nyawa mangsa.

“Mangsa yang menerima lanjut rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

“Setakat ini, polis masih mengesan ketiga-tiga suspek dan belum ada tangkapan dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Harian Metro.

Portal berita pada Khamis lalu melaporkan sepasang kekasih cedera selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian samun motosikal di Jalan Kuching pada 12.10 tengah malam.

Kejadian itu mengakibatkan mangsa lelaki cedera di muka dan badan, manakala teman wanitanya cedera di bahu kanan serta tidak sedarkan diri dan dirawat di HKL.

Berdasarkan laporan, mangsa dan teman wanita menaiki motosikal Y15ZR dari arah Jalan Kuching menghala ke Jinjang sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal Honda RS150 warna kelabu.

Siasatan awal mendapati suspek terdiri daripada tiga lelaki tempatan melarikan motosikal milik mangsa nombor pendaftaran VFU 814.

Polis kini giat mengesan suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu