Nation
87
0

Tanggungjawab komuniti saintifik didik orang ramai mengenai vaksin

Kuala Lumpur – Menjelang ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech Ahad ini dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan beberapa hari kemudiannya, masih ada dalam kalangan masyarakat yang dilihat tidak berapa faham sepenuhnya mengenai vaksin itu.

Pakar Virologi Molekul Dr Vinod Balasubramaniam berkata buktinya dapat dilihat menerusi keraguan berhubung vaksin itu yang ditularkan di media sosial, termasuk kekeliruan berhubung keberkesanannya.

Beliau berkata keraguan itu juga berpunca daripada jurang yang wujud antara komuniti saintifik dan orang ramai, dan kini menjadi tangungjawab komuniti saintifik untuk menyampaikan maklumat yang betul berhubung vaksin COVID-19, menerusi cara yang paling mudah difahami orang ramai.

“Kita perlu sentiasa ingat bahawa sains sentiasa dibimbing oleh bukti-bukti eksperimen, dan kita juga perlu tahu bahawa penemuan vaksin merupakan pencapaian terbesar perubatan moden.

“Kita hidup (survive) hari ini disebabkan oleh vaksin, dan ia merupakan salah satu langkah paling efektif dalam mengawal dan menghalang penularan jangkitan penyakit di seluruh dunia, dalam sejarah sains perubatan,” katanya dalam program Mid Day Update Bernama TV hari ini.

Dalam program yang dihoskan oleh Jessy Chahal itu, Dr Vinod berkata salah faham yang biasa dalam kalangan orang awam adalah fakta mengenai 95 peratus keberkesanan vaksin Pfizer-BioNTech di peringkat percubaan klinikal, apabila ramai yang menyangka ini bermakna baki lima peratus dijangkiti COVID-19.

“Ini tidak benar. Kebekesanan 95 peratus sebenanya bermaksud dalam kalangan mereka yang disuntik vaksin, akan menyaksikan kadar yang rendah kemungkinan dijangkiti COVID-19 berbanding mereka yang tidak menjalani vaksinasi.

“Dalam lain perkataan, mereka yang disuntik dengan vaksin Pfizer-BioNTech dalam percubaan klinikal, 20 kali lebih berpotensi untuk tidak dijangkiti dengan COVID-19… bagi saya itu adalah vaksin yang paling berkesan yang kita ada ketika ini,” tambahnya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu