Kuala Lumpur Post

Nation

Tarik minat siswazah perubatan kerja kerajaan jadi tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR — Sidang Dewan Rakyat akan tertumpu kepada perancangan kerajaan menarik minat siswazah perubatan untuk terus berkhidmat dalam sektor kesihatan awam, susulan kajian penghapusan skim pencen pada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu yang dijangka bermula tahun depan.

Perkara itu akan dibangkitkan Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) kepada Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad pada sesi soal jawab lisan.

Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) pula akan meminta menteri pelaburan, perdagangan dan industri menyatakan kaedah kerajaan menetapkan sasaran 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) diwujudkan menjelang 2025 dan sama ada ia boleh tercapai memandangkan penggunaan EV masih rendah.

Iskandar juga ingin tahu mengenai galakan disediakan bagi menarik lebih ramai golongan M40 untuk memiliki EV.

Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) akan mengemukakan soalan kepada menteri kemajuan desa dan wilayah berkenaan jumlah generasi kedua Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) yang siap dibina dan syarat untuk memiliki rumah itu serta penjelasan beberapa projek tertangguh.

Selepas sesi soal jawab lisan, persidangan akan diteruskan dengan menyambung perbahasan usul menjunjung kasih Titah Diraja yang bermula semalam.

Berdasarkan takwim, persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung 19 hari dengan perbahasan Titah Diraja oleh Ahli Parlimen dari 27 Feb hingga 7 Mac diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.

Pembentangan serta perbahasan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain akan diadakan pada 18 hingga 27 Mac.