Nation
106

Tarikh lihat anak bulan Ramadan pada 12 April

Kuala Lumpur – Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa umat Islam seluruh Malaysia adalah pada Isnin, 12 April ini bersamaan 29 Syaaban 1442 Hijrah.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan hari ini menyatakan tempat melihat anak bulan Ramadan dilakukan di 29 lokasi seluruh negara.

Tempat tersebut ialah Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara (Melaka); Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan); Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Selain itu, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong (Perak); Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang); manakala di Kedah di Kampung Pulau Sayak di Kuala Muda, Pemandangan Indah di Pulau Langkawi serta Menara Alor Setar.

Bagi Terengganu pula ialah di Bukit Besar (Kuala Terengganu), Bukit Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut) dan Balai Cerap Kusza, Mukim Merang (Setiu), manakala di Kelantan melibatkan Bukit Peraksi (Pasir Puteh), Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram (Kuala Krai) dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak di Kota Bharu.

Tiga tempat di Sarawak ialah Esplanade Luak (Miri), Teluk Bandung (Kuching) dan Tanjung Batu (Bintulu); satu lokasi di Sabah iaitu Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan; serta tiga di Pahang merangkumi Bukit Tanjung Batu (Nenasi), Gunung Berincang (Cameron Highlands) dan Bukit Pelindung, Kuantan.

Di Wilayah Persekutuan ialah tingkat 13 di Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur serta Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, manakala bagi Perlis pula ialah di Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

Menurut kenyataan itu, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

“Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Permulaan Puasa yang ditetapkan melalui Radio dan Televisyen,” menurut kenyataan itu. — Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu