Nation
133

Tawar khidmat jimat elektrik oleh sindiket antara taktik kecurian elektrik

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan pengguna supaya berwaspada dengan tawaran perkhidmatan penjimatan tenaga elektrik oleh sindiket yang merupakan antara taktik mencuri elektrik.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Operasi Kawasan ST Mohd Elmi Anas berkata sindiket tersebut difahamkan mengambil kesempatan menipu tanpa disedari pengguna dengan mengusik dan mengubah suai meter elektrik bagi mengurangkan bil elektrik pengguna.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ada juga pengguna yang mendapatkan khidmat daripada pihak tidak bertanggungjawab dan cuba mengurangkan bil elektrik bulanan dengan cara mengganggu dan mengusik sistem pemeteran elektrik di premis mereka.

“ST ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil jalan mudah atau tidak mudah terpedaya dengan penawaran untuk menjimatkan elektrik,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata modus operandi dan kaedah yang biasa digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu adalah mengusik sistem pemeteran elektrik seperti memotong pendawaian masuk, meletak bendasing bagi menghalang atau memperlahankan meter, mengganggu keadaan fizikal meter, sambungan terus tanpa melalui meter, pintasan sistem dan pendawaian meter.

Mohd Elmi berkata kes-kes penggunaan elektrik dengan curang atau mencuri elektrik biasanya dilakukan oleh pengguna dengan penggunaan elektrik yang tinggi seperti kilang ais, perlombongan bitcoin dan lain-lain, malah ada juga kes melibatkan pengguna domestik.

“Kegiatan mencuri elektrik ini merupakan kesalahan di bawah Seksyen 37 (1) dan Seksyen 37 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum lima tahun untuk kesalahan pertama manakala denda sehingga RM5 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya pula boleh dikenakan untuk kesalahan kedua dan seterusnya.

“Mengikut Seksyen 38 (3) Akta Bekalan Elektrik 1990 pula, pihak pemegang lesen seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) boleh menuntut kerugian hasil di mahkamah sekiranya dapat membuktikan mana-mana orang telah mengusik atau mengganggu meter elektrik daripada merekodkan dengan betul,”katanya.

Beliau berkata dari 2015 hingga 2021, ST telah membuka 64 kertas siasatan dengan 36 syarikat dan individu telah didakwa di mahkamah serta dikenakan hukuman denda manakala bakinya sedang menunggu izin daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk meneruskan pendakwaan.

“ST berharap pihak-pihak yang telah dibawa ke mahkamah dan didenda tidak lagi mengulangi perbuatan mencuri elektrik sekali gus kes ini dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mengusik meter elektrik pihak utiliti dengan niat untuk mengganggu bacaan bil elektrik daripada mencatatkan bacaan meter dengan betul,” katanya.

Mohd Elmi turut menasihatkan pemilik premis supaya berhati-hati dengan kemungkinan premis mereka digunakan oleh penyewa untuk menjalankan aktiviti mencuri elektrik.

Selain itu, beliau berkata sebagai badan kawal selia sektor tenaga negara khususnya industri pembekalan elektrik dan gas berpaip di Semenanjung dan Sabah, ST sentiasa melaksanakan dan menguatkuasakan peruntukan undang-undang pembekalan tenaga selain memastikan keselamatan orang awam.

Katanya ST memandang serius kegiatan mencuri elektrik kerana ia bukan saja melibatkan soal keselamatan, kebakaran atau gangguan bekalan elektrik malah memberi implikasi besar kepada negara dan pengguna lain memandangkan kos elektrik yang dicuri akan ditanggung oleh semua pengguna dalam penetapan tarif elektrik.

“Bagi membanteras kegiatan curi elektrik, ST menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan pihak berkuasa tempatan serta melaksanakan operasi penguatkuasaan secara bersama. Dalam kes curi elektrik ini juga, pihak PDRM boleh mengambil tindakan undang-undang mengikut Kanun Keseksaan atau Akta Pencegahan Jenayah,” katanya.

Mohd Elmi turut menyarankan pengguna supaya mengamalkan kaedah penjimatan elektrik dan menggunakan kelengkapan elektrik cekap tenaga yang dilabel dengan lima bintang bagi mengurangkan bil elektrik.

“ST juga sentiasa mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk memaklumkan sebarang aktiviti mengusik meter elektrik melalui sistem Aduan ST yang boleh dicapai melalui laman sesawang www.st.gov.my dan aplikasi telefon pintar yang boleh dimuat turun daripada Google Playstore dan Apple Store secara percuma oleh pengguna Android dan iOS,” katanya, lapor Bernama.

Tags: ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu