Social
132
0

Teksi dilarikan penumpang

Kuala Lumpur – Sebuah teksi Proton Persona dilarikan oleh seorang lelaki yang juga penumpang teksi berkenaan di Taman Pinggiran Batu Caves, Selangor, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa berusia 65 tahun yang juga pemandu teksi berwarna merah putih dengan nombor pendaftaran HWE7784, mengambil suspek di Jalan Raja Laut, untuk dihantar ke Taman Pinggiran Batu Caves.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata sebaik tiba di lokasi tujuan, suspek berpura-pura meminta pemandu terbabit menunggu rakannya sebelum mengajak mangsa merokok di luar teksi.

Katanya, ketika mangsa keluar dari teksi dan mengeluarkan rokoknya untuk dihisap, suspek tiba-tiba masuk ke tempat duduk hadapan teksi berkenaan dan mengunci pintu.

“Pada masa itu, mangsa sempat pergi ke bahagian penumpang hadapan dan membuka pintu penumpang hadapan untuk masuk, namun suspek terus memecut melarikan teksi.

“Mangsa terjatuh dan cedera pada muka, kedua-dua tangan, lutut kanan dan ibu jari kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan kes masih dalam siasatan.

“Usaha menahan suspek masih dijalankan. Orang ramai yang ada maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd Fildza Che Ibrahim di talian 016-9537372 atau 03-61262222 bagi membantu siasatan,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu