Nation
597

Tempoh masa sidang Dewan Rakyat tidak dilanjutkan : Takiyuddin

Kuala Lumpur – Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 2 Ogos ini tidak akan dilanjutkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Selain itu, beliau turut memaklumkan had masa persidangan turut kekal sehingga 5.30 petang berdasarkan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 12 (1).

“Apa pun yang berlaku dalam persidangan ini, semua boleh dibenarkan hadir tetapi sebagaimana (Peraturan Mesyuarat) 12 (1) iaitu sehingga 5.30 petang atau 12 (3) yang mana Tuan Yang Dipertua boleh lanjutkan masa 15 minit.

“Ada pun proviso kepada 12(1) iaitu kuasa menteri, (namun) berdasarkan pandangan pakar, saya nak sahkan saya dapat mandat dari Ketua Majlis untuk tidak melanjutkan masa dari 5.30 (petang) atau 5.45 (petang), atau hari persidangan,” katanya.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 itu diadakan selama lima hari mulai 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos bagi Dewan Rakyat, manakala bagi Dewan Negara pula ditetapkan selama tiga hari mulai 3 Ogos.

Takiyuddin berkata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini telah memberikan pandangan beliau pada satu mesyuarat yang diadakan pada Isnin lepas yang turut dihadiri beberapa Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Beliau beri dua cadangan, yang pertama persidangan ini tidak boleh diadakan terus sebab kalau dalam kes biasa, dengan 77 orang dalam satu tempat diisytiharkan positif COVID-19 sudah PKPD, itu diberitahu Tan Sri Dr Noor Hisham.

“Pilihan kedua dia beritahu, menghadkan bilangan kehadiran Ahli Parlimen pada satu-satu masa dan juga hadkan masa… itu cadangan Ketua Pengarah Kesihatan. Sepatutnya rakan-rakan sebelah sana boleh get back to Speaker, kita boleh setuju berapa orang, sampai pukul berapa ,” katanya.

Cadangan penambahan hari persidangan dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang menyatakan terdapat kekangan masa untuk Ahli Parlimen berbahas, selain terdapat beberapa isu lain yang tidak dapat dibahaskan secara terperinci seperti isu pendidikan pada persidangan yang memasuki hari keempat.

Terdahulu, Mesyuarat Khas itu bertukar seakan-akan gelanggang Mahkamah apabila beberapa Ahli Parlimen pembangkang bangkit mengemukakan Peraturan Mesyuarat serta Perlembagaan Persekutuan antaranya melibatkan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat, antaranya Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), Gobind Singh Deo (PH-Puchong) dan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang).

Ia sekali gus menyebabkan sesi penerangan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dijadual pada 10 pagi hanya dapat dimulakan sejam kemudian, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu