Kuala Lumpur Post

Nation

Tiada bonus raya untuk penjawat awam Kelantan

KOTA BHARU — Tiada pemberian bonus untuk penjawat awam di Kelantan pada Aidilfitri tahun ini, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan.

Beliau berkata ini kerana bantuan khas kewangan penjawat awam Kelantan telah diberi pada November lepas iaitu sebanyak RM2,000 oleh Menteri Besar Mohd Nassuruddin Daud yang dianggap sebagai ‘bonus raya’.

“Bantuan itu dibayar bulan lepas jaraknya agak dekat dengan tarikh Aidilfitri dan boleh digunakan oleh penjawat awam untuk raya.

“Kita amat menghargai penjawat awam sebagaimana Kerajaan Pusat. Kalau keadaan ekonomi semakin baik, insya-Allah saya rasa kerajaan boleh fikirkan inisiatif bantuan lain selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyampaian sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik sempena Program Memacu Kehidupan: Hari Raya Aidilfitri anjuran Yayasan Petronas, semalam.

Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli, berkata sebanyak 550 keluarga daripada 11 jajahan di Kelantan menerima sumbangan barangan keperluan makanan melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM110,000.

“Bagi keseluruhan bantuan di Pantai Timur kita memperuntukkan sebanyak RM270,000 melibatkan 1,350 keluarga.

“Setiap keluarga terpilih menerima sumbangan barangan makanan asas seperti beras, bihun, minyak masak, kari ayam dalam tin, sardin, gula, tepung gandum, garam, serbuk minuman coklat dan teh,” katanya.