Social
143

Tiada bukti perubatan tak boleh makan durian selepas divaksin

Tapah – Tiada bukti perubatan menunjukkan bahawa mana-mana individu tidak boleh makan durian selepas menerima suntikan vaksin COVID-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata tidak termaktub dalam buku perubatan tidak boleh makan durian selepas dicucuk (vaksin), namun orang ramai tidak boleh makan benda yang terlalu manis atau makan (dalam kuantiti) terlalu banyak yang akan merosakkan kesihatan, lapor Bernama.

“Itu tidak betul. Punca kematian seorang lelaki yang didakwa meninggal dunia kerana makan durian sebenarnya sudah disahkan akibat serangan jantung, jadi isu yang tular di media sosial itu tidak benar sama sekali.

Jangan sebarkan apa-apa maklumat berkaitan suntikan vaksin sebab ia memberi kesan tidak baik kepada mereka yang mahu mengambil vaksin tetapi takut disuntik vaksin kerana percaya dengan isu sebegini. Biar KKM yang memberi penjelasan secara saintifik dan data mengenai sesuatu perkara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Merdeka Tapah di sini hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial apabila orang ramai menerima mesej yang kononnya seorang individu yang telah divaksinasi meninggal dunia selepas makan durian.

Sementara itru Kementerian Kesihatan (KKM) menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan siasatan menyeluruh ke atas tiga individu yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penjualan vaksin COVID-19 dan menunggu hasil siasatan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

“Suntikan vaksin diberikan percuma kepada rakyat dan kos ditanggung sepenuhnya kos kerajaan kerana ini tanggungjawab kerajaan, jadi mana-mana pihak pun tidak boleh mengenakan apa-apa bayaran. Sekiranya ada pihak mengambil bayaran untuk suntikan vaksin, ia adalah salah sama sekali,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata sesiapa yang mempunyai masalah kesihatan mental boleh mendapatkan keperluan sokongan emosi dan kaunseling menerusi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS).

Katanya MHPSS diwujudkan di peringkat negeri dan daerah yang dianggotai pakar psikiatri, pakar kesihatan awam dan keluarga serta kaunselor kesihatan mental bagi membantu mereka yang memerlukan rawatan.

“Saya nasihatkan sesiapa sahaja yang berasa tertekan, sila hubungi talian MPHSS supaya tindakan sesuai yang perlu diambil apabila kita berada dalam kecemasan dan cara untuk menangani masalah tekanan, sekiranya ada kes yang serius pula kita akan rujuk kepada pakar,” katanya.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu