Nation
316

Tiada keperluan absahkan pelantikan PM : Peguam Negara

Kuala Lumpur – Tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kerajaan yang telah dibentuk mengikut lunas undang-undang, kata Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Kenyataan beliau hari ini memaklumkan langkah mengabsahkan pelantikan perdana menteri adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan menidakkan kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya pelantikan perdana menteri yang baharu masih memerlukan keabsahan oleh mana-mana pihak selain daripada Seri Paduka Baginda, ini bermakna kuasa mutlak Seri Paduka Baginda boleh diatasi oleh pihak lain,” katanya.

Idrus berkata Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa budi bicara kepada Seri Paduka untuk melantik Perdana Menteri dan harus dibaca bersama Perkara 43(2)(a) iaitu Perdana Menteri hendaklah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Katanya justeru, pelantikan Perdana Menteri merupakan tanggungjawab perlembagaan dan kuasa mutlak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Idrus berkata tatacara penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat telah pun diputuskan oleh Seri Paduka sendiri.

“Bagi tujuan tersebut, Seri Paduka Baginda telah pun mengadakan sesi menghadap bersama ketua-ketua parti politik utama negara pada 17 Ogos dan kesemua 220 Ahli Dewan Rakyat telah diminta untuk menyatakan nama Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Ahli Dewan Rakyat tersebut untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan,” katanya.

Beliau berkata nama bakal Perdana Menteri daripada kesemua 220 Ahli Dewan Rakyat telah dikemukakan kepada pihak Istana Negara menerusi surat akuan pada 18 Ogos lepas.

Katanya susulan itu, Seri Paduka telah berkenan menerima menghadap seramai 114 Ahli Dewan Rakyat pada 19 Ogos untuk mengesahkan kepercayaan mereka kepada Ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri iaitu Ismail Sabri, Ahli Parlimen Bera.

Idrus berkata pada 21 Ogos lepas, Perdana Menteri yang baharu telah pun mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan serta sumpah taat setia dan juga sumpah simpan rahsia di hadapan Seri Paduka menurut kehendak Perkara 43(6) Perlembagaan Persekutuan.

“Selaras dengan proses pemilihan yang telah dijalankan oleh Seri Paduka dengan teliti dan telus untuk melantik Perdana Menteri kesembilan seperti yang dinyatakan, secara jelasnya pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah sah dan menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu