Nation
108

Tiada keperluan untuk tutup sesi persekolahan di Negeri Sembilan : MB

Seremban – Tiada keperluan setakat ini untuk menutup sesi persekolahan di negeri Sembilan kerana kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar dan guru masih terkawal, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata penutupan sekolah hanya dilakukan apabila terdapat kes positif COVID-19 dan ibu bapa dinasihat agar tidak panik.

“Memang terdapat kes jangkitan COVID-19 di sekolah iaitu dua sekolah yang dimaklumkan. Masyarakat tidak harus panik, semua diingatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program bersama asnaf daerah Seremban anjuran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang turut dihadiri Pengerusi MAINS Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir.

Aminuddin juga mengingatkan ibu bapa supaya tidak menghantar anak yang bergejala ke sekolah atau pelajar yang menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19.

“Tanggungjawab kita hari ini adalah menjaga kesihatan masyarakat keseluruhannya bukan diri sendiri sahaja,” katanya.

Semalam media melaporkan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 2 di sini ditutup tujuh hari bermula semalam hingga 29 April berikutan 17 warganya disahkan positif COVID-19.

Sementara seramai 179 individu dari Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu dikuarantin di pusat kuarantin Institut Aminuddin Baki dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai selepas tiga warganya disahkan positif COVID-19 namun sekolah itu tidak ditutup.

Berkenaan program hari ini, Aminuddin berkata MAINS memperuntukkan sejumlah RM152 juta untuk diagihkan kepada lapan golongan asnaf yang layak di negeri ini.

Katanya daripada jumlah itu sebanyak RM37 juta dikhususkan kepada golongan fakir dan miskin serta bantuan kepada masjid dan surau di seluruh negeri.

Antaranya adalah bantuan bulanan, bantuan khas Aidilfitri, bantuan persekolahan, bantuan perubatan (hemodialisis) dan sebagainya.

Sementara itu Abdul Aziz berkata MAINS turut menaikkan bantuan bulanan bermula Mac lepas mengikut kadar kifayah fakir iaitu minimum RM250 sehingga maksimum RM800 dan kadar had kifayah miskin menerima bantuan minimum RM250 sehingga RM550. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu