Nation
371

Tiada kertas siasatan dibuka berhubung isu Hartal Doktor Kontrak : Polis

Kuala Lumpur – Polis Diraja Malaysia tidak membuka apa-apa kertas siasatan berhubung petugas kesihatan yang menyertai perhimpunan Hartal Doktor Kontrak di sekitar ibu negara dan Selangor pada Isnin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata tiada petugas kesihatan yang disiasat kerana menyertai perhimpunan yang diadakan di beberapa hospital termasuk Hospital Kuala Lumpur itu.

“Setakat ini, tidak ada siasatan dibuat,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata tiada kertas siasatan dibuka di negeri itu berhubung perhimpunan berkenaan.

Sebaliknya, beliau berkata polis hanya mengambil keterangan petugas kesihatan berhubung pencerobohan pengamal media di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRCB) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang susulan laporan yang diterima mengenainya.

Arjunaidi berkata siasatan sedang dibuat termasuk mengenal pasti mereka yang memasuki PKRCB MAEPS tanpa kebenaran pihak berkaitan.

Menjelaskan perkara berkenaan, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Md Noor Aehawan Mohamed berkata dewan di MAEPS itu diwartakan sebagai PKRCB yang melarang orang luar memasuki kawasan itu tanpa kebenaran.

“Seorang daripada media berkenaan telah membuat (liputan) secara live semasa berada di dalam dewan itu. Setakat ini, pihak polis telah merakam keterangan seramai 17 petugas kesihatan yang terdiri daripada doktor dan jururawat yang bertugas semasa kejadian untuk membantu siasatan bagi mendapatkan pengesahan mengenai kehadiran media di dalam dewan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh kawasan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan membuat rakaman secara langsung di dalam kawasan yang dilarang sehingga memaparkan pesakit sedang menerima rawatan.

Pada Isnin, polis menerima laporan berhubung enam pengamal media daripada pelbagai agensi yang didakwa menceroboh PKRCB MAEPS, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu