Social
193

Tiada kesan dadah, alkohol pada spesimen CEO Cradle Fund

Shah Alam – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa tiada kesan alkohol dan dadah ditemukan dalam tiga spesimen yang diambil daripada badan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan.

Ahli Kimia Bahagian Toksikologi, Jabatan Kimia Malaysia B.Govinda Raj memaklumkan mahkamah bahawa keputusan spesimen terbabit diperoleh pihaknya setelah menerima tiga eksibit yang masing-masing bertanda A, B dan C daripada Sarjan Abdul Rahim Taha pada 10.58 pagi 18 Jun 2018.

Saksi pendakwaan ke-40 itu berkata selepas menerima dan memeriksa beg berisi eksibit terbabit, beliau menjalankan analisis alkohol terhadap spesimen air kencing serta bahan yang meruap ke atas spesimen paru-paru dan otot psoas berlabel Nazrin bin Hassan.

“Keputusan analisis terhadap spesimen air kencing menyaksikan etil alkohol dan dadah biasa tidak dikesan manakala dadah biasa serta bahan meruap tidak dikesan dalam spesimen paru-paru dan otot psoas.

“Berdasarkan analisis tersebut, saya telah menyediakan satu laporan kimia bertarikh 20 Julai 2018. Eksibit-eksibit ini juga telah diserah balik bersama laporan kimia kepada Sarjan Abdul Rahim Taha pada 10.40 pagi 24 Julai 2018,” katanya ketika membaca penyataan saksi di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Govinda Raj, 38, memberi keterangan pada perbicaraan kes Samirah Muzaffar, 46, bekas eksekutif kanan yang juga isteri Nazrin serta dua remaja lelaki, masing-masing kini berusia 19 dan 16 tahun, didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, menyebabkan kematian mangsa di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Saksi itu turut memaklumkan bahawa tiada kesan karbon monoksida dikesan di dalam ketiga-tiga spesimen Nazrin berdasarkan ujian yang dilakukan pihaknya.

Disoal peguam bela LS Leonard sama ada mangsa meninggal dunia bukan disebabkan alkohol, beliau berkata perkara itu bukan dalam bidang kuasanya dan hanya boleh disahkan Jabatan Patologi.

Perbicaraan kes bersambung esok. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu