Nation
210
0

Tiada lagi kes COVID-19 baharu dikesan di Hospital USM

Kota Bharu – Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) memaklumkan tiada lagi kes positif COVID-19 baharu dikesan di hospital itu sejak semalam dan operasinya kini telah kembali seperti biasa.

Pengarah Kampus Kesihatan dan Pengarah Hospital USM Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim berkata sebagai langkah kawalan, Hospital USM proaktif menjalankan sanitasi sekitar premis secara lebih kerap dan mempergiat kempen amalan norma baharu dalam kalangan warga kerja serta pelanggan.

“Pengurusan Hospital USM komited dan sentiasa mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) berdasarkan arahan serta garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), termasuk mengarahkan warga kerja menjalani saringan, kuarantin serta isolasi apabila ada keperluan.

“Dalam menguruskan situasi berkaitan dengan jangkitan COVID-19, pengurusan Hospital USM sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan KKM,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Ahmad Sukari berkata hospital itu memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesejahteraan warga kerja serta pelanggan, termasuk pesakit serta waris dengan melaksanakan pelbagai tindakan mengawal jangkitan dan memastikan perkhidmatan rawatan tidak terjejas.

“Untuk makluman, tiada sebarang perkhidmatan di Hospital USM yang ditutup. Bilangan pesakit termasuk perkhidmatan dewan bedah serta bilik bersalin dikurangkan sebagai langkah berjaga-jaga dan bagi memberi masa untuk warga kerja, pesakit dan semua orang yang berisiko disaring,” katanya.

Beliau berkata pengurangan bilangan pesakit pada bulan lepas adalah rutin setiap tahun kerana Peperiksaan Sarjana Perubatan dilaksanakan dalam tempoh berkenaan berdasarkan jadual akademik.

Pengurangan pesakit juga diputuskan setelah mengambil kira situasi semasa jangkitan COVID-19 termasuk kluster-kluster sekitar negeri ini yang menunjukkan peningkatan, katanya. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu