Social
235

Tiada layanan istimewa kepada lelaki pukul pengawal peribadi

Kuala Lumpur – Polis menegaskan lelaki yang didakwa kerana mengugut dan memukul dua pengawal peribadinya yang berpuasa, tidak mendapat layanan istimewa seperti didakwa pihak tertentu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata lelaki terbabit dibawa ke Mahkamah Majistret di sini kelmarin tanpa digari kerana bukan dalam tahanan polis, sebaliknya untuk menghadapi pertuduhan.

Katanya, suspek yang juga ahli perniagaan itu diberi jaminan polis sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk siasatan lanjut.

“Suspek diberi jaminan polis, maka kita tidak boleh menangkap semula dan menggari lelaki itu atas kesalahan sama hanya semata-mata untuk dibawa ke mahkamah.

“Justeru tidak timbul isu suspek mendapat layanan istimewa kerana undang-undang menetapkan tiada siapa boleh ditangkap atas kesalahan sama seperti termaktub mengikut Artikel 7(2) Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, polis mengesan satu artikel memaparkan gambar lelaki yang juga majikan kepada dua pengawal peribadi hadir ke mahkamah tanpa digari dan diiringi pegawai polis.

Kelmarin, suspek yang sebelum ini didakwa memukul dan mengugut dua pengawal peribadinya dengan menggunakan pistol, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini.

Chung Chee Yang, 43, hadir ke mahkamah dengan memakai kemeja-T biru dan seluar putih, didakwa atas empat pertuduhan mencederakan kedua-dua mangsa.

Khamis lalu, majikan kepada dua pengawal peribadi itu menghadapi lima pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang.

Antara pertuduhan dikenakan terhadap Chee Yang ialah melukakan perasaan keagamaan terhadap dua pengawal peribadi iaitu Ahmad Shamsuri Zailani, 27, dan Mohd Azminizam Zulkepli, 44.

Berhubung suspek dibawa ke mahkamah tanpa memakai baju lokap, Mohamad Zainal berkata, ia mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara A118 iaitu banduan yang dibawa ke mahkamah perlu memakai pakaian ketika ditangkap, melainkan pakaian itu berkenaan dijadikan barang kes.

“Justeru, polis menggesa orang ramai tidak memanipulasi isu ini sehingga menyebabkan salah faham, kekeliruan, dan menggambarkan keadaan tidak tepat lalu menjejaskan reputasi serta imej polis di mata masyarakat,” katanya. – BH Online

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu