Nation
164

“Tiada manipulasi sistem oleh pihak SElangkah dalam pendaftaran vaksin AstraZeneca”

Kuala Lumpur – Tidak berlaku manipulasi sistem oleh pihak SELangkah dalam isu pendaftaran vaksin AstraZeneca di bawah kempen bantuan (outreach) ImuniSel tempoh hari seperti yang didakwa oleh beberapa pihak.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan bersama malam ini memaklumkan ImuniSel adalah sebuah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk mendaftar vaksin secara luar talian (offline) untuk golongan yang sukar mempunyai akses digital.

Kenyataan itu menyebut setiap individu yang membuat pendaftaran vaksin menerusi ImuniSel telah memberikan kebenaran untuk didaftarkan bagi vaksinasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan namun tempahan slot vaksin AstraZeneca dibuat secara sukarela atau ‘opt in’ atas persetujuan dan pemahaman setiap individu terhadap vaksin AstraZeneca.

“ Justeru, pendaftaran bagi vaksin AstraZeneca memerlukan persetujuan berbeza berbanding vaksin-vaksin lain yang berada dalam program arus perdana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, menerusi pendaftaran vaksin AstraZeneca yang dibuat oleh Imunisel tanpa pengetahuan mereka yang terlibat, terdapat beberapa individu yang telah terlebih dahulu menerima janji temu vaksinasi bukan AstraZeneca digantikan dengan janji temu baharu bagi vaksin AstraZeneca.

“ Bagi menyelesaikan isu ini, pihak ImuniSEL telah bersetuju untuk menyerahkan senarai nama individu yang telah didaftarkan tempoh hari untuk dihubungi oleh pihak CITF (Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) bagi mendapatkan persetujuan menerima vaksin AstraZeneca.

“ Bagi individu yang terkesan akibat penggantian janji temu dan tidak bersetuju dengan janji temu baharu yang diberikan, individu terbabit akan diberikan semula janji temu terdahulu,” menurut kenyataan itu.

Amirudin dan Khairy berkata pihak CITF turut memaklumkan bahawa terdapat beberapa individu yang telah mendapat janji temu vaksin AstraZeneca menerusi pendaftaran yang telah dibuat oleh pihak lain termasuk ahli keluarga atau majikan mereka.

“ Bagi menyelesaikan masalah ini, satu ciri tambahan di aplikasi MySejahtera akan dibangunkan dalam masa terdekat bagi membolehkan individu yang terkesan terutama yang telah menerima janji temu baharu menggantikan janji temu terdahulu, dapat memberi maklum balas dan mendapat penyelesaian segera,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, kenyataan bersama itu memaklumkan Amirudin dan Khairy telah mengadakan perbincangan hari ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bagi mencari penyelesaian kepada isu yang timbul itu serta perancangan meningkatkan kadar harian vaksinasi di Selangor.

Menurut kenyataan itu, Kerajaan Negeri Selangor memaklumkan bahawa pihaknya telah melaksanakan pendaftaran vaksin AstraZeneca bagi individu yang telah mendaftar di bawah kempen tersebut dan CITF mengambil maklum serta menghargai usaha Kerajaan Negeri Selangor serta pihak lain bagi membolehkan seramai mungkin individu di Malaysia termasuk di Selangor mendaftar dan mendapat vaksinasi COVID-19.

Mengenai perancangan menambah kadar harian vaksinasi di Selangor, kenyataan bersama itu memaklumkan kedua-dua pihak bersetuju membuka PPV berskala mega di beberapa lokasi di sekitar negeri itu secara berperingkat bermula minggu kedua bulan Jun.

“Perbincangan yang telah berjalan dalam suasana harmoni ini juga telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama strategik antara pihak Kerajaan Negeri Selangor dan pihak CITF bagi membolehkan program imunisasi itu berjalan dengan lancar serta teratur, seterusnya mencapai sasaran imuniti kelompok,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu juga memaklumkan Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam Tan Sri Dr Jemilah Mahmood serta wakil SELangkah turut hadir dalam perbincangan semalam. – Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu