Social
133

Tiada operasi pengilangan minuman keras : Polis

Shah Alam – Polis hari ini menjelaskan tiada sebarang operasi pengilangan yang dijalankan oleh sebuah kilang minuman keras di Seksyen 15 di sini, sejak 1 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharuddin Mat Taib berkata pemantauan pihaknya di kilang minuman keras berkenaan pada 7.40 petang semalam mendapati memang tiada sebarang operasi pengilangan arak dijalankan.

Beliau berkata asap yang dikeluarkan daripada salah satu cerobong kilang itu merupakan wap daripada proses memanaskan sejenis bahan mentah yang menyerupai gandum atau ragi.

“Bahan ini perlu dipanaskan bagi memastikan ia tidak rosak sepanjang penutupan operasi kilang. Wap atau asap perlu dikeluarkan untuk mengelakkan berlaku letupan.

“Proses ini dipanggil ‘Meletakkan Peralatan Pengilangan Dalam Keadaan Siap Siaga’ seperti yang dimaklumkan dalam surat kebenaran meletakkan peralatan kilang itu dalam mod siap siaga daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),” katanya dalam kenyataan.

Baharuddin berkata demikian ekoran tular rakaman sebuah video berdurasi 40 saat di laman Facebook yang menyatakan sebuah kilang minuman keras di Seksyen 15 di sini, masih beroperasi berdasarkan asap yang keluar dari kilang tersebut. — Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu