Politics
298

Tiada parti politik, individu kebal daripada undang-undang : PM

Bangi – Tidak ada parti politik mahu pun individu yang kebal daripada dikenakan tindakan undang-undang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata walaupun negara berada di Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun prosedur operasi standard (SOP) yang jelas telah diumum kerajaan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Jadi kita tidak ada kompromi, tidak ada istilah orang biasa dan orang kayangan, orang biasa kena kompaun dan orang kayangan tidak kena, undang-undang sama sahaja, jadi saya harap semua rakyat patuh kepada SOP,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) dan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu beberapa parti politik telah dikompaun baru-baru ini kerana melanggar SOP, antaranya Barisan Nasional yang melancarkan jentera Pilihan Raya Melaka dan PKR Melaka yang mengadakan acara berkaitan pilihan raya, masing-masing dikenakan kompaun RM10,000.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa 25 Okt hingga 27 Nov ini bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan dan peningkatan kes mendadak COVID-19.

Ia termasuk penganjuran majlis-majlis pelancaran jentera pilihan raya, lapor Bernama.

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu