BANGI — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan tiada pelajar Malaysia sedang melanjutkan pelajaran di Lubnan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir, berkata ia berdasarkan semakan dengan pejabat Education Malaysia (EM) di Timur Tengah.
Berdasarkan laporan daripada EM, tidak ada pelajar di Lubnan, melainkan sekiranya mereka tidak daftar, katanya selepas menghadiri program Jelajah Kampus Madani In Person with Doc Zam: Tips and Tricks for Freshies di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata, KPT sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Luar untuk memantau sekiranya terdapat pelajar Malaysia di Lubnan.
“Bagaimanapun, saya ingin menyebut di sini bahawa langkah-langkah akan terus dibuat kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra untuk memastikan rakyat Malaysia, sama ada mereka belajar secara tidak rasmi melalui madrasah atau sistem persekolahan di sana.
Ataupun rakyat Malaysia yang berada di sana, saya percaya pihak Wisma Putra mengambil langkah-langkah untuk memastikan keselamatan rakyat kita.
Rabu lalu, Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia di Lubnan membuat persiapan segera meninggalkan negara itu secara sukarela berikutan keadaan semakin runcing.
Warganegara Malaysia diminta menangguhkan semua perjalanan ke Lubnan sehingga keadaan di negara itu kembali stabil.