Nation
147

Tiada pembaziran vaksin di Malaysia : Khairy

Putrajaya – Tiada pembaziran vaksin COVID-19 di Malaysia, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bercakap mengenai ketidaksamaan agihan vaksin, beliau berkata Malaysia ketika ini menggunakan stok vaksin COVID-19 yang terdapat di negara ini bagi memastikan lebih banyak orang diberi vaksin.

“Itulah sebabnya kita belum mengumumkan dos penggalak (vaksin COVID) untuk semua orang, saya rasa tidak adil untuk mengumumkannya apabila ada negara yang belum memberikan dos pertama,” kata Khairy dalam sidang media mengenai COVID-19, di sini semalam.

Beliau berkata sekiranya kementerian mahu pengeluar vaksin yang membekalkannya kepada Kementerian Kesihatan (KKM) menangguhkan penghantaran, mereka akan dimaklumkan supaya boleh menghantarnya ke negara lain dahulu.

Dalam perkembangan lain, Menteri Kesihatan itu berkata panel pakar perubatan dan kesihatan negara sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 seperti yang diumumkan sebelum ini, iaitu diberikan selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

Khairy berkata makluman mengenai perkara itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) akan datang.

Beliau berkata keutamaan pemberian dos ketiga COVID-19 akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19, setelah dos kedua tidak mencukupi untuk meningkatkan tindak balas imuniti terhadap jangkitan virus itu, katanya.

Sementara itu, dos penggalak pula akan diberikan kepada semua individu untuk meningkatkan tahap imuniti yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua.

Mengenai diskriminasi ke atas beberapa jenis vaksin di sesetengah negara, Khairy menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar membuat satu ketetapan wajar dan adil mengenainya berikutan semua pengeluaran vaksin telah mendapat kelulusan WHO.

“Saya mengambil maklum ada sesetengah negara yang menetapkan bahawa hanya individu yang menerima vaksin tertentu sahaja akan diberikan pengecualian daripada melakukan ujian pengesanan COVID-19 sebelum berlepas, menjalani kuarantin setelah tiba di negara berkenaan dan sebagainya.

“Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana penting untuk kita faham bahawa vaksin melindungi individu daripada risiko mendapat jangkitan yang lebih teruk serta mengurangkan gejala penyakit,” katanya.

Khairy berkata keputusan sama ada kemudahan atau kelonggaran yang hendak diberikan kepada pengembara dari luar negara mestilah dibuat berdasarkan kawalan dan pencegahan penyakit serta tindakan kesihatan awam di negara berkenaan dan bukannya berdasarkan jenis vaksin.

“Ini akan menyimpang daripada tujuan adanya vaksin dan pemberiannya kepada penduduk. Diskriminasi jenis vaksin hanya akan menghalang inovasi dalam pembuatan vaksin,” katanya, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu