Kuala Lumpur Post

Social

Tiada pengakuan bersalah daripada ibu Zayn

PETALING JAYA — Ibu kepada kanak-kanak dibunuh Zayn Rayyan Abdul Matiin hanya memberi keterangan dan tidak membuat sebarang pengakuan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Peguam mewakili ibu kanak-kanak itu, Mahmud Jumaat berkata, prosiding hari ini adalah permohonan polis untuk merekod pengakuan bersalah Orang Yang Disyaki (OYDS) mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan.

Bagaimanapun, perkara itu dibantah kedua-dua peguam yang mewakili pasangan suami isteri itu.

Beliau berkata, anak guam juga tidak membuat sebarang pengakuan dan perkara itu direkodkan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

“Ibu Zayn Rayyan tidak buat sebarang pengakuan di hadapan majistret, sebaliknya dia hanya memberi keterangan,” katanya.

Pagi tadi, hanya ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin yang direman sejak 1 Jun lalu bagi membantu siasatan kes bunuh kanak-kanak autistik itu dibawa untuk merekodkan keterangan dan meninggalkan Kompleks Mahkamah di sini, pada 12.50 tengah hari hari ini.

Wanita berusia 29 tahun itu memakai baju lokap berwarna ungu, dikawal ketat pihak polis di lobi mahkamah sebelum dibawa masuk kenderaan agensi penguatkuasaan itu.

Difahamkan, ibu kanak-kanak itu dibawa ke mahkamah dengan menaiki van polis pada jam 10.30 pagi sebelum dibawa masuk mahkamah.