Nation
287

Tiada pengasingan ikut agama, bangsa dalam pemberian vaksin : Khairy

Putrajaya – Tiada pengasingan dan pemberian vaksin dibuat berdasarkan agama dan bangsa dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan (PICK).

Itu penafian dibuat Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin susulan dakwaan berlaku pengasingan vaksin bagi penerima beragama Islam dan bukan Islam di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baru-baru ini.

Khairy berkata, pihaknya sedia maklum mengenai isu berkenaan yang difahamkan berlaku di PPV Kompleks Sukan Desa Tasik, Kuala Lumpur pada 24 Mei lalu.

Beliau berkata, mengikut maklumat yang diterima kononnya penerima vaksin beragama Islam diberikan Pfizer, manakala vaksin Sinovac pula diberikan kepada penerima bukan Islam.

“Ini adalah satu berita yang tidak benar sama sekali dan merupakan satu tuduhan yang tidak bertanggungjawab. Saya ingin jelaskan bahawa tiada sebarang pengasingan telah dibuat mengikut agama atau bangsa.

“Pada hari itu, seramai 943 diberikan suntikan vaksin yang mana 252 individu disuntik vaksin Pfizer and 691 orang lagi menerima suntikan Sinovac.

“Daripada pecahan itu, 169 individu Islam dan 83 individu bukan Islam menerima vaksin Pfizer, manakala 142 individu Islam dan 549 individu bukan Islam menerima vaksin Sinovac,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian hari ini.

Katanya, pada hari berkenaan penerima vaksin hanya diasingkan berdasarkan jenis vaksin mengikut ruang suntikan bagi memastikan tiada kesilapan dalam pemberian jenis vaksin.

Jelasnya lagi, isu berkenaan timbul selepas 42 daripada penerima vaksin di PPV itu pada hari berkenaan adalah terdiri daripada bakal jemaah haji dan petugas haji.

“Pada hari itu, seramai 42 penerima vaksin berkenaan diasingkan bagi menerima vaksin Pfizer. Saya ingin jelaskan bahawa Kerajaan Arab Saudi ketika ini hanya mengiktiraf vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca kepada bakal jemaah haji tahun ini.

“Saya berharap penjelasan ini dapat menafikan mesej yang tular sebelum ini yang mendakwa berlaku pengasingan agihan vaksin mengikut agama dan kaum,” katanya. – Utusan Online

Tags: , , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu