KUALA LUMPUR — Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terbabit atau terjejas dalam kejadian gempa bumi.
dengan skala ritcher 7.6 magnitud melanda kawasan tengah dan barat Jepun, hari Isnin.
Wisma Putra memaklumkan, pihaknya menerusi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, sedang memantau rapat perkembangan susulan gempa bumi berkenaan.
“Gempa bumi dengan magnitud 7.6 itu mencetuskan amaran tsunami sepanjang kawasan pantai barat Jepun.
“Setakat laporan terkini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit atau terjejas akibat gempa bumi itu.
Malaysia turut menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat daripada insiden gempa bumi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) dilaporkan berkata, gempa bumi kuat dengan skala ritcher 7.6 magnitud melanda wilayah tengah Jepun, Ishikawa hari ini.
Amaran tsunami besar sudah dikeluarkan oleh JMA untuk wilayah Noto dan menggesa orang ramai untuk berpindah dalam kadar segera berikutan amaran tsunami untuk wilayah Niigata, Toyama dan Ishikawa di Laut Jepun negara itu.
Xinhua melaporkan, gempa itu mencatatkan pada skala tujuh dan gegarannya turut dirasai di beberapa kawasan di negara Asia itu
Dalam perkembangan itu, Wisma Putra juga mengeluarkan nasihat kepada rakyat Malaysia di kawasan berkenaan yang terjejas supaya kekal berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini dan nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo di alamat 20-16, Nanpeidai-cho, Shibuya-ku, 150-0036 Tokyo.
“Atau menghubungi talian +81-3-3476-3840, +8180-3913-3840 (kecemasan) atau emel mwtokyo@kln.gov.my, consular.tyo@kln.gov.my.
“Sebarang perkembangan terkini mengenai kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.