Nation
239

Tiada rundingan dengan pendakwaan untuk keluarkan nama daripada saman 1MDB : Saksi

Kuala Lumpur – Seorang saksi hari ini memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini bahawa tidak ada rundingan antara beliau dan pendakwaan bagi membolehkan namanya dikeluarkan daripada saman yang dikemukakan kerajaan terhadapnya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mohd Hazem Abd Rahman, 49, membuat penafian itu semasa disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Muhammad Shafee merujuk artikel dari sebuah portal berita dalam talian yang melaporkan bahawa 1MDB telah menggugurkan tindakan sivil terhadap Mohd Hazem dan enam defendan lain dalam satu daripada samannya bagi menuntut kembali US$8 bilion.

Muhammad Shafee: Pada asalnya, tindakan sivil diambil terhadap kamu dan semua anggota pengurusan kanan 1MDB. Bagaimanapun, kemudian kesemua nama telah dikeluarkan daripada saman itu.

“Saya katakan kepada kamu bahawa kamu sebenarnya amat bimbang dengan saman itu. Saya tidak menamakan sesiapa secara khusus… Kamu sebenarnya telah berjumpa dengan pihak pendakwaan serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (MACC) dan berkata ‘ini tidak boleh diteruskan (tindakan sivil) kerana kamu sedang memberi keterangan yang memihak kepada pendakwaan namun pada masa yang sama, kamu disaman oleh kerajaan. Adakah kamu setuju?

Mohd Hazem: Saya tidak setuju.

Muhammad Shafee: Adakah kamu tahu bahawa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara di Parlimen telah mengesyorkan agar individu seperti Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas CEO 1MDB dan anggota pengurusan kanan lain disiasat?

Mohd Hazem menjawab “Tidak.”

Saksi pendakwaan ke-10 itu juga tidak bersetuju dengan cadangan bahawa beliau telah diberikan jaminan bahawa namanya akan dikeluarkan daripada tindakan sivil 1MDB.

Mohd Hazem turut memberi keterangan bahawa beliau tidak tahu mengapa namanya dikeluarkan daripada saman itu.

Pada 10 Mei lepas, Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa 1MDB dan anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd telah memfailkan 22 saman bagi menuntut kembali asetnya yang bernilai lebih RM96.6 bilion termasuk RM300 juta daripada pelbagai pihak tempatan.

Saman itu difailkan oleh 1MDB terhadap sembilan entiti termasuk dua institusi kewangan asing dan 25 individu manakala SRC memfailkan saman terhadap lapan entiti dan 15 individu berhubung pelbagai salah laku.

Menyentuh bonus RM2.7 juta yang diterima Mohd Hazem semasa bertugas di 1MDB, peguam itu mendakwa saksi tersebut gagal menjalankan kewajipan fidusiarinya sehingga menyebabkan situasi kewangan syarikat itu “punah begitu sahaja” sepanjang tempoh beliau memegang jawatan.

“Kamu kata kamu bimbang bahawa Jho Low atau Low Taek Jho adalah individu yang ‘mengawal’ 1MDB namun kamu gembira menerima bonus itu seperti dicadangkan oleh Lembaga Pengarah.

“Lembaga Pengarah malah menilai prestasi anda sebagai ‘melepasi jangkaan.’ Bagaimana anda boleh menerima bonus itu tanpa sedikitpun berasa malu?” kata Muhammad Shafee.

Sebagai respons, saksi itu berkata perkara tersebut merupakan cadangan ahli lembaga pengarah.

“Adakah saya perlu memberikan jawapannya, Yang Arif?” tanya Mohd Hazem.

Pada peringkat ini, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib membantah soalan itu dan berkata bonus yang diterima oleh Mohd Hazem tidak relevan dengan pertuduhan terhadap Najib.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian berkata isu sama ada Mohd Hazem berhak menerima wang itu atau sebaliknya telah diputuskan oleh lembaga pengarah syarikat tersebut.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung esok, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu