Nation
144
0

Tiada sebarang kegiatan bom diletupkan di Sabah, Labuan

Kuala Lumpur – Susulan bunyi letupan dan gegaran yang dirasai penduduk di beberapa tempat di Sabah dan Labuan, pagi tadi, polis menjelaskan tiada sebarang kegiatan meletupkan bom dilakukan pihak berkuasa di kawasan terbabit.

Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani ketika dihubungi Bernama.

“Saya telah semak dengan Pesuruhjaya Polis Sabah (Datuk Hazani Ghazali) dan tiada sebarang letupan dibuat. Kemungkinan letupan yang didengari itu berpunca daripada aktiviti melibatkan petroleum. Boleh semak dengan Petronas,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini polis tidak menerima laporan daripada penduduk berhubung insiden itu dan pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengesan punca letupan serta gegaran terbabit.

Penduduk di sekitar daerah Sipitang dan Beaufort di Sabah serta Labuan panik seketika apabila digemparkan dengan bunyi letupan dan gegaran pada kira-kira 11 pagi.

Mereka mendakwa letupan dan gegaran itu dirasai selama kira-kira 10 saat.

Sementara itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memaklumkan bunyi letupan dan gegaran itu tiada kaitan dengan Latihan Perang Borneo 1/21 pasukan keselamatan berkenaan.

Jurucakap TLDM berkata, latihan perang itu bertujuan mempersiapsiagakan aset Armada Timur hanya dilaksanakan pada Khamis lalu.

“Negatif, bukan daripada TLDM memandangkan Latihan Perang Borneo berlaku pada 28 Januari sahaja,” menurutnya dalam mesej menerusi aplikasi WhatsApp.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak menafikan dakwaan pengguna media sosial bahawa kerja-kerja memusnahkan bom lama yang ditemui di Labuan, baru-baru ini menjadi punca gegaran serta letupan itu kerana operasi memusnahkan bom dilakukan semalam. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu