Nation
152

Tiada tambahan kes kolera dikesan : JKNS

Shah Alam – Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan tiada tambahan kes kolera dikesan sehingga kini selepas satu kes penyakit itu dilaporkan membabitkan seorang wanita tempatan dari daerah Petaling, dekat sini pada 21 Okt lalu.

Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman menerusi kenyataan di Facebook JKNS memaklumkan wanita berusia 56 tahun itu telah sembuh sepenuhnya selepas mendapatkan rawatan.

“Hasil siasatan mendapati pesakit mengalami gejala cirit-birit teruk dan mendapatkan rawatan pada hari yang sama di sebuah fasiliti kesihatan swasta. Kes dirawat sebagai pesakit luar dan diambil sampel najis untuk ujian.

“Keputusan ujian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) menunjukkan kehadiran bakteria vibrio cholerae, serogroup 01 dan serotype ogawa. Susulan itu, semua kontak rapat telah disaring termasuk pengendali makanan yang terlibat dan pengambilan sampel persekitaran juga dijalankan,” katanya.

Dr Sha’ari memaklumkan siasatan lanjut telah dijalankan secara menyeluruh, namun JKNS tidak dapat mengenal pasti punca jangkitan, selain tiada kes baharu diterima sehingga kini.

“Oleh itu, seiring dengan saranan Kementerian Kesihatan (KKM), JKNS ingin menegaskan bahawa penyakit kolera berupaya merebak dengan cepat dan boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat dengan segera. JKNS akan sentiasa memantau situasi semasa di Selangor bagi membendung sebarang kemungkinan perebakan penyakit tersebut.

“Masyarakat diseru minum air yang telah dirawat atau dididihkan, mengamalkan kebersihan diri, mencuci tangan, mendapatkan rawatan segera sekiranya mempunyai gejala kolera dan tidak makan makanan mentah atau tidak dimasak sempurna,” katanya, lapor Bernama

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu