Social
65
0

Tiga pegawai MAQIS direman isu kartel daging

Johor Baharu – Tiga pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) direman lima hari bermula hari ini untuk siasatan kerana disyaki terbabit kegiatan rasuah berhubung kemasukan daging beku tidak dibenarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Perintah reman sehingga 23 Januari itu dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru, Nur Fathiah Mohd Fedzier selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, pagi ini.

Ia menjadikan lima pegawai jabatan berkenaan disiasat setakat ini berhubung kes terbabit selepas pada 7 Januari lalu, dua pegawai MAQIS Johor berusia 27 dan 31 tahun direman mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi berkata, ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 40, 44, dan 55 tahun, ditahan di Pejabat SPRM Johor, kira-kira jam 7 malam tadi selepas hadir untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Semalam, SPRM Johor dilaporkan menahan seorang pengarah syarikat berusia 36 tahun di Johor Bahru sebelum suspek direman selama enam hari bermula semalam.

Pada 12 Januari lalu, seorang ejen penghantaran direman lima hari kerana disyaki terbabit kegiatan rasuah berhubung isu skandal kartel daging import yang menggemparkan tanah air, Disember lalu.

Lelaki berusia 55 tahun berkenaan sebelum itu ditahan di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 4 Januari pula, seorang pengarah dan tiga pekerja syarikat pengimport daging sejuk beku, di sini dilaporkan turut direman.

Empat suspek berusia 39 dan 50 tahun itu adalah pengarah, pengarah operasi, kerani dari sebuah syarikat sejuk beku, manakala seorang lagi pengarah syarikat lain.

Semalam, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan seramai lapan suspek sudah ditahan sejak 4 Januari lalu bagi membantu siasatan berhubung isu kartel daging sejuk beku dan 27 saksi juga dipanggil terdiri daripada pekerja syarikat, ejen pengimport serta pegawai kerajaan.

Kes terbabit disiasat mengikut Akta SPRM 2009 yang menjurus kepada kesalahan menerima rasuah, mengemukakan tuntutan palsu serta kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen.

Disember lalu, media melaporkan wujudnya kartel mendalangi penyeludupan daging import dari negara sumber tidak sah, dengan produk yang dibawa masuk diragui halal status dan kualitinya. – Berita Harian

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu