Social
580

Timbalan Pengarah SKMM diarah bela diri

Kuala Lumpur Р Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah termasuk satu pertuduhan pilihan berjumlah RM87,000 berhubung kelulusan projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu terhadap Timbalan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pos dan E-Dagang, MCMC, Mohd Iskandar King, 44, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 27 hingga 29 Julai ini untuk prosiding membela diri.

Mengikut pertuduhan pilihan, Mohd Iskandar didakwa secara rasuah menerima suatu suapan wang tunai RM50,000 daripada pengarah syarikat Golden Sunrise Ventures Sdn Bhd dan pakar runding bagi syarikat OCK Setia Engineering Sdn Bhd, Mohd Azuzi Mohamed Kamil.

Ia sebagai upah kononnya sebagai balasan telah membantu mendapatkan projek USP Time 3 Extension Phase 1 daripada suruhanjaya itu bagi OCK Setia Engineering.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di IOI City Mall Putrajaya pada jam 8 malam, 9 Januari 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan lain, Mohd Iskandar didakwa menerima dua cek masing-masing bernilai RM18,500 atas nama isterinya, Nur Ellina Abdul Sukor dan atas namanya sendiri daripada Mohd Azuzi yang mana tertuduh mengetahui Mohd Azuzi mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Bukit Jalil Golf and Country Resort, jam 5 petang, pada 23 Jun 2015.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Seramai 31 orang saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula pada Disember tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria, Francine Cheryl Rajendram dan Abdul Muntaqim Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Sivahnanthan Ragava, lapor Bernama.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu