Nation
410

Timbang semula penamatan kontrak : Pos Rider

Melaka – Sekumpulan 23 Pos Rider di negeri ini memohon Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menimbang semula penamatan kontrak mereka yang didakwa dilakukan tanpa sebarang perbincangan selain diberikan notis tidak sampai 14 hari, lapor Bernama.

Wakil mereka, Muhamad Yusof Asraf Ali, 25, berkata tindakan Pos Malaysia itu turut menyebabkan sebahagian daripada mereka terpaksa menanggung beban hutang pinjaman yang digunakan untuk membeli van, iaitu antara syarat menyertai Pos Rider.

“Saya berharap Pos Laju dapat menimbang dan mengkaji semula kontrak ini sebab amat mustahil untuk kami mendapat pekerjaan lain ketika ini,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, dia menerima e-mel berhubung penamatan kontrak itu pada 22 Jun lepas, menyatakan kontrak ditamatkan berkuat kuasa 1 Julai.

“Tempoh ini tidak cukup 14 hari seperti yang dinyatakan dalam kontrak,” katanya.

Seorang lagi Pos Rider, Muhammad Naim Ghani, 29, berkata dia menerima tawaran Pos Laju untuk menjadi ‘rider’ sepenuh masa kerana yakin dengan kredibiliti syarikat itu yang turut menyebabkannya meminjam wang RM10,000 daripada ayahnya untuk membeli van.

“Dulu saya buat secara sambilan tetapi apabila ditawarkan untuk melakukannya secara sepenuh masa, saya anggap satu peluang, tetapi selepas setahun, kontrak ditamatkan begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Pos Malaysia menjelaskan fasa pertama rasionalisasi tersebut berkuat kuasa hari ini (1 Julai) di semua negeri kecuali di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak dengan notis pemberitahuan 14 hari telah dikeluarkan kepada semua Pos Rider yang terlibat.

Menurut Pos Malaysia, walaupun permintaan terhadap pembelian dalam talian terus meningkat tahun ini, landskap pasaran yang kompetitif menyebabkan penyedia e-dagang mewujudkan perkhidmatan penghantaran mereka sendiri.

“Ini menyebabkan pengurangan kebergantungan pasaran terhadap pengiriman bungkusan oleh penyedia perkhidmatan kurier tempatan, sekali gus menghasilkan lebihan sumber manusia dan mendorong Pos Malaysia untuk merasionalisasikan program Pos Rider,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia juga menjelaskan Pos Rider merupakan program crowdsourcing yang bertujuan memberi sokongan kepada kakitangan tetap kurier Pos Malaysia terutamanya ketika waktu puncak.

Menurut Pos Malaysia, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan tahun lalu, jumlah bungkusan melonjak berikutan peningkatan pembelian dalam talian dan mewujudkan lebih 1,400 peluang pekerjaan.

“Bagaimanapun, semasa tempoh yang mencabar seperti pandemik ini, kami perlu menyesuaikan kos dan mengoptimumkan sumber yang ada bagi memastikan kemampanan perniagaan, demi menjaga kepentingan lebih 13,600 kakitangan barisan hadapan Pos Malaysia di seluruh negara.

“Selain persaingan yang sengit, kami turut terkesan oleh lambakan perkhidmatan (penawaran harga rendah yang terlalu rendah) oleh sesetengah pemain industri dengan tujuan mengganggu pasaran, dan ini menyebabkan kami harus menitikberatkan pengurusan kos yang berhati-hati dan berhemat,” katanya.

 

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu