Nation
141

“Timbang semula waktu operasi penjaja makanan”

Georgetown – Kerajaan Pulau Pinang meminta kerajaan pusat agar menimbang semula pelaksanaan waktu operasi penjaja makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini dengan mengambil kira kes harian COVID-19 di setiap negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata langkah itu bagi membolehkan penjaja di negeri yang merekodkan kes COVID-19 yang rendah, beroperasi lebih awal berbanding 8 pagi yang ditetapkan, lapor Bernama.

“Sebagai contoh, bilangan kes COVID-19 di Pulau Pinang kelmarin ialah 159 manakala Selangor ada 2,001 kes. Perbezaan yang besar tetapi keputusan (prosedur operasi standard) (SOP) yang sama. Ini perlu dikaji semula,” katanya pada sidang media, hari ini.

Jagdeep berkata pihaknya menerima banyak permohonan dan aduan daripada penjaja makanan terutama di kawasan pasar awam dan tapak penjaja sementara yang menyifatkan SOP itu tidak munasabah kerana penjaja makanan perlu menunggu dua jam selepas pasar beroperasi.

“Selalunya pelanggan akan membeli makanan ketika membeli keperluan harian di pasar, …sekiranya mereka (penjaja makanan) lambat beroperasi, maka tidak ada hasil jualan,” katanya.

Menurutnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini menolak permohonan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengawalkan waktu operasi kepada jam 6 pagi.

“Kelmarin, PBT telah menghantar sepucuk lagi surat rayuan kepada MKN dan saya sendiri akan menghubungi menteri yang berkaitan untuk membincangkan hal ini,” katanya.

Dalam pada itu, Jagdeep berkata setakat ini seramai 991,000 penduduk di Pulau Pinang sudah berdaftar di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, sementara kadar pematuhan SOP pula mencatatkan 99 peratus.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu