Nation
206

Tindakan tatatertib jika bersekongkol dengan penyeludup, pengedar dadah: Polis

Kota Bharu – Tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja akan diambil sekiranya terdapat pegawai dan anggota yang bersekongkol dengan penyeludup atau pengedar dadah di sempadan negara, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan pegawai atau anggota yang terlibat dalam kegiatan berkenaan.

“Penyeludup atau pengedar dadah tidak akan melepasi sekatan yang dilaksanakan di negeri ini sekiranya tidak ada pemberi maklumat kepada mereka. Kalau tiada ‘informer’ di sini penyeludup tidak boleh lepas.

“Malah seperti yang kita semua sedia maklum, sekatan di negeri sekarang sangat ketat tambahan pula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pintu sempadan juga belum dibuka namun kita tetap dapati masih ada cubaan membolosi sempadan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Dewan Dato’ Ab Rahman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Sementara itu, Shafien berkata beliau telah mengarahkan pasukan pemantau untuk mengawasi penggunaan laman media sosial melibatkan pegawai dan anggotanya.

Menurutnya, ada dalam kalangan pegawai dan anggotanya dikesan menyalahgunakan media sosial dengan memuat naik perkara negatif termasuk menunjukkan kemewahan yang melampau sehingga menjadi tular.

“Perkara ini bukan sahaja akan menjejaskan individu berkenaan bahkan turut menjejaskan pasukan. Jadi saya menyeru polis di negeri ini jangan sesekali menyalahgunakan laman media sosial termasuk untuk mengenakan kawan sendiri tanpa pengetahuan mereka,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu