Nation
145

Tindakan tegas jika salah guna kuasa, pemalsuan borang rentas negeri : Ismail Sabri

Petaling Jaya – Tindakan tegas menanti kakitangan atau anggota penguat kuasa yang didapati menyalahgunakan kuasa dalam urusan kebenaran rentas negeri, tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Amaran sama turut ditujukan kepada orang awam yang menyalahgunakan borang kebenaran rentas negeri termasuk membeli atau mendapatkan borang kosong dengan tandatangan dan cop palsu pihak berkuasa.

Tegas Ismail Sabri, orang awam perlu mengikut prosedur yang betul untuk mendapatkan kebenaran merentas negeri dan tidak mengambil jalan mudah dengan memalsukan dokumen tersebut.

“Sekiranya ada cop dan tandatangan palsu (pada borang) akan diambil tindakan tegas. Borang rentas negeri mesti dibuat di balai polis dengan butiran yang sahih.

“Kalau ada orang dalam (salah guna kuasa anggota penguat kuasa), tindakan tegas juga mesti diambil kerana ia satu pelanggaran undang-undang,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Di Shah Alam semalam, polis membuka kertas siasatan susulan tindakan individu yang membuat pemalsuan tandatangan pada borang rentas negeri kononnya milik Penolong Ketua Balai Polis Seksyen 6 di sini, selepas gambar borang itu tular di media sosial.

Sebelum ini, satu lagi kes seumpama itu turut dilaporkan berhubung borang rentas negeri kosong dengan tandatangan Ketua Balai Polis Chukai, Kemaman, Terengganu tular di media sosial, bagaimanapun siasatan awal mendapati tandatangan itu dipalsukan.

Mengenai majlis hari ini, Ismail Sabri berkata menerusi kerjasama Pharmaniaga dan UMT, sebuah projek madu kelulut secara saintifik dan komersial akan dibangunkan bagi memberi peluang penyertaan golongan B40 serta pesara tentera.

Beliau berkata projek itu bukan sahaja dapat mengembangkan potensi dan nilai komersial madu kelulut, malah sekali gus meningkatkan taraf ekonomi golongan terlibat termasuk pesara tentera.

“Sebagai permulaan, projek usaha sama ini menyasarkan penyertaan sebanyak 1,000 pesara tentera untuk diberikan latihan kemahiran dan modal untuk mengusahakan ladang madu kelulut mengikut standard Amalan Pertanian Baik (GAP) bagi menjamin kualiti produk,” katanya.

Perjanjian usaha sama itu dimeterai oleh Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnian Md Eusope dan Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mohktar yang disaksikan Ismail Sabri serta Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu