Nation
298

Tindakan tegas terhadap penjual ubat Ivermectin

Shah Alam – Mana-mana pihak yang mempromosi penjualan ubat Ivermectin sebagai penawar Covid-19 boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Akta Racun 1952.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (PFM), Amrahi Buang berkata, kesalahan itu berdasarkan Akta Racun 1952 mengenai penjualan ubat tersebut.

“Apabila tidak mengikut undang-undang, sesiapa yang membuat perkara ini telah menyalahi undang-undang dan boleh dihukum. Tidak kira sama ada doktor, ahli farmasi atau sesiapa sahaja.

“Ahli farmasi atau doktor perlu memaklumkan kepada pesakit mengenai ubat ini tidak boleh digunakan untuk merawat Covid-19,” katanya.

Pada 27 Julai lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, setakat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi kelulusan khas penggunaan ubat ini secara off label untuk kajian klinikal sahaja.

Dalam pada itu, Amrahi turut membidas tentang penjualan ubat tersebut secara berleluasa termasuk menerusi dalam talian.

“Ubat ini boleh didapati menerusi dalam talian dan jika diimport, ia boleh melepasi pelbagai peringkat seperti kastam.

“Sedangkan ubat berkenaan belum diluluskan penggunaannya bagi rawatan Covid-19 di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Amrahi berkata, pihaknya turut berasa bimbang dengan pembelian Ivermectin oleh pengguna sama ada di luar negara atau dalam talian adalah ubat yang palsu.

“Macam mana seseorang itu boleh tahu itu bukan ubat palsu? Sebab ia tidak didaftarkan di Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa agar kerajaan mengambil tindakan terhadap penjualan ubat ini sama ada secara dalam talian atau dibawa masuk dari luar negara, lapor Sinar Harian.

Tags: , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu