Nation
124

Tinjauan: Tahap populariti PM meningkat kepada 67% berbanding 63%

Kuala Lumpur – Tahap kepopularan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kalangan rakyat kekal stabil pada 67 peratus meskipun negara kini berdepan kebimbangan berhubung isu ekonomi dan pandemik COVID-19, demikian menurut survei kebangsaan membabitkan pengundi di Semenanjung Malaysia yang berakhir baru-baru ini.

Survei itu, yang dijalankan oleh Merdeka Center antara 31 Mac dan 12 April tahun ini, juga menunjukkan bahawa Muhyiddin tetap mendapat sokongan kuat daripada pengundi Melayu iaitu sebanyak 83 peratus, Cina (30 peratus) dan India (66 peratus).

“Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding tahap kepopularan sebanyak 63 peratus yang dicatat pada akhir bulan Januari tahun ini,” menurut pusat itu yang melakukan survei ke atas sejumlah 2,111 responden berumur 21 tahun dan ke atas bagi laporan terkini.

Selain itu, survei tersebut mendapati ‘mood’ rakyat berhubung hala tuju negara bercampur aduk dengan 41 peratus menyifatkan bahawa negara ‘berada di landasan yang betul’ manakala 46 peratus berpendapat negara ‘berada di landasan yang salah.’

Pandangan ini menyaksikan perubahan ketara sejak Januari 2021 apabila hanya 32 peratus berpendapat negara berada di landasan yang betul manakala 46 peratus menganggap negara berada di landasan yang salah.

“Mereka yang berpandangan bahawa negara berada di landasan yang betul mempunyai perasaan positif terhadap pentadbiran dan mengakui bahawa kebajikan rakyat dijaga.

“Mereka yang berpandangan bahawa negara berada di landasan yang salah pula meluahkan kebimbangan berhubung kestabilan politik dan keadaan ekonomi yang kurang memuaskan,” menurut laporan itu.

Dari segi kebimbangan peribadi pengundi pula, laporan itu menunjukkan bahawa isu ekonomi kekal menjadi perhatian utama iaitu 57 peratus diikuti isu pandemik pada 16 peratus manakala isu politik berada di tempat ketiga dan hanya dinyatakan oleh 2.4 peratus daripada mereka yang ditemu bual.

Survei itu turut mendapati bahawa kebimbangan mengenai isu ekonomi disokong oleh keadaan kewangan peribadi pengundi yang menyaksikan 57 peratus melaporkan bahawa keadaan mereka ‘semakin teruk’ berbanding tahun lepas sebelum berdepan kesan penuh perintah kawalan pergerakan susulan penularan pandemik.

Sementara itu, berhubung isu pandemik COVID-19, survei sama mendapati majoriti pengundi iaitu 70 peratus berpuas hati dengan cara kerajaan menanganinya. – Bernama

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu