Nation
71
0

TNB siasat punca kabel bawah Jambatan P.Pinang terbakar

George Town – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan kebakaran kabel elektrik di bawah Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 3.2 hari ini adalah melibatkan kabel 132kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara.

Ketua Pegawai Grid TNB Datuk Ir. Husaini Husin berkata kebakaran itu dikesan berlaku sekitar 4 petang dan punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan.

“TNB bekerjasama rapat dengan pihak polis, bomba dan PLUS bagi mengawal kebakaran supaya aliran trafik di Jambatan Pulau Pinang kembali lancar. Kami memohon maaf atas kesulitan yang timbul akibat kejadian itu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya bekalan elektrik TNB kepada semua pengguna di Pulau Pinang masih stabil dan proses baik pulih kerosakan kabel yang terjejas akan dijalankan dengan segera.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi talian TNB CareLine 15454 sekiranya terdapat sebarang kejanggalan kepada pepasangan TNB.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari ketika dihubungi berkata kebakaran itu mengakibatkan tiga litar di bawah Jambatan Pulau Pinang tersebut terputus namun tiada gangguan elektrik kerana terdapat empat lagi litar di bawah air (kabel dasar laut) yang tidak terjejas.

“Masih terlalu awal untuk mengetahui sejauh mana kerosakan pada litar kerana pihak Jambatan Pulau Pinang perlu melakukan pembaikan sebaik sahaja ia selamat dan tidak ada lagi asap.Kita perlu menunggu lebih banyak maklumat daripada pihak berkaitan,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati sehingga 8 malam ini, kesesakan teruk masih berlaku di kedua-dua arah Jambatan Pulau Pinang berikutan beberapa lorong di situ ditutup bagi membolehkan pihak bomba menjalankan kerja pemadaman dari kawasan laut iaitu di bawah jambatan tersebut.

Sebelum ini, pada September 2010, kejadian sama berlaku apabila tiga kabel kuasa terbakar di Jambatan Pulau Pinang, mengakibatkan gangguan elektrik di kawasan pulau terutamanya di Bayan Lepas. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu