Nation
403

’Total lockdown’ bukan perintah berkurung : KPN

Kuala Lumpur – Sekatan pergerakan penuh (total lockdown) dikuatkuasakan oleh kerajaan mulai esok bagi membendung pandemik COVID-19 bukanlah perintah berkurung tetapi sebaliknya ia bagi mengehadkan pergerakan orang ramai agar tidak keluar dari rumah tanpa sebarang tujuan.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata tiada perintah berkurung dilaksanakan, namun semua aktiviti perniagaan, pusat membeli-belah dan premis makanan ditutup selepas 8 malam.

“Ini bererti tiada tempat untuk orang ramai atau berkumpul berkeliaran pada waktu malam dan dinasihatkan untuk mereka duduk di rumah sahaja,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Acryl Sani berkata mereka hanya dibenarkan bergerak dalam 10 kilometer (km) radius sahaja dan jika lebih daripada jarak itu mereka telah melakukan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Jika ada keperluan mendesak sahaja barulah keluar rumah namun mereka digalakkan membawa keluar bil utiliti sebagai bukti sokongan. Tujuan utama ‘total lockdown’ adalah untuk memastikan orang ramai tidak keluar rumah tanpa sebarang tujuan yang mendesak,“ katanya.

Acryl Sani berkata pihaknya juga akan terus mempergiatkan pematuhan SOP di kawasan-kawasan pinggir bandar.

“Saya diberitahu bahawa kawasan pinggir bandar yang mana penduduknya kurang mematuhi SOP maka saya akan arahkan pasukan pematuhan SOP untuk meningkatkan rondaan dalam memutuskan rantaian COVID-19.

“Selain itu, saya akan minta Jabatan Penerangan Malaysia membuat siar raya di kawasan pedalaman untuk menyedarkan mereka bahawa betapa bahayanya wabak ini dan berkemungkinan mereka tidak memandang serius,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kesemua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi perlu mendapatkan surat kebenaran pergerakan baharu daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Surat kebenaran pergerakan yang dikeluarkan MITI semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini tidak boleh diguna pakai lagi dan mereka perlu membuat permohonan baharu,” katanya.

Mengulas mengenai gerak kerja penjawat awam, Acryl Sani berkata hanya 20 peratus sahaja penjawat awam dibenarkan untuk bekerja di pejabat manakala 80 peratus lagi bekerja dari rumah kecuali kepada mereka yang terlibat dalam perkhidmatan penting.

“Jika penjawat awam perlu hadir ke pejabat mereka perlu mendapatkan surat rasmi daripada ketua jabatan dan pas pekerja perlu ditunjukkan kepada petugas sekatan jalan raya (SJR) kerana diarahkan hadir ke pejabat,” katanya sambil menambah pihaknya akan mengadakan 800 SJR di seluruh negara berbanding 600 SJR sebelum ini.

Beliau berkata ketua polis daerah akan mengkoordinasikan daerah masing-masing untuk diadakan SJR tetap atau SJR bergerak.

Bagi urusan orang ramai mendapatkan vaksin COVID-19, Acryl Sani berkata orang ramai tidak perlu mendapatkan kebenaran polis untuk tujuan itu.

“Apabila polis menahan mereka di SJR mereka hanya perlu menunjukkan maklumat janji temu dalam MySejahtera dan tidak perlu risau,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan Kementerian Dalam Negeri akan mengerahkan lebih 70,000 anggotanya daripada pelbagai agensi untuk memastikan Sekatan Pergerakan Penuh yang akan bermula esok hingga 14 Jun dilaksanakan sebaik mungkin dari sudut penguatkuasaan. – Bernama

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu