Kuala Lumpur Post

Social

Tragedi perahu karam: Mayat mangsa ketiga ditemukan lemas

KUCHING — Mangsa terakhir tragedi perahu penambang karam di Sungai Kayan, Kampung Selampit di Lundu, Selasa lalu, ditemukan lemas hari ini.

Mayat pelajar perempuan, Alsma Jithil, 14, terapung kira-kira 100 meter dari tempat kejadian, dijumpai penduduk kampung, 6.38 pagi tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mayat mangsa kemudian diambil oleh anggota Sarawak Coast Guard yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan apabila kesemua tiga mangsa ditemukan,” katanya.

Mayat mangsa pertama iaitu pelajar lelaki, Vilkie Wilson, 15, ditemukan 11.58 pagi semalam, manakala mayat mangsa kedua, Helena Fasha Petrus, 16, ditemukan 5.30 petang semalam.

Dalam kejadian pada 6.10 pagi Selasa lalu, seramai 15 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong, seorang pelajar SMK Lundu dan empat penduduk kampung termasuk pengemudi menaiki perahu tambang berkenaan.

Kejadian itu berlaku ketika hujan lebat dan arus sungai deras.