Social
956
0

Tragedi Tanjong Pagar: Rakaman CCTV tunjuk wanita berlari masuk dalam kereta terbakar

Singapura – Media Singapura telah memperoleh rakaman video menunjukkan seorang wanita muda berlari tanpa teragak-agak ke dalam sebuah kereta yang sedang terbakar di Jalan Tanjong Pagar untuk menyelamatkan lima individu termasuk tunangnya yang terperangkap dalam kenderaan itu.

Bahan visual itu diperoleh secara eksklusif oleh akhbar The Straits Times.

Kereta BMW M4 putih yang terlibat dalam nahas tersebut dilihat berpusing-pusing selama beberapa saat pada kira-kira 5.40 pagi Sabtu lepas (13 Februari) sebelum merempuh sebuah rumah kedai, demikian menurut versi dalam talian akhbar harian itu.

Lampu isyarat kereta itu boleh dilihat berada dalam keadaan berkelip-kelip selama kira-kira 15 saat sebelum kenderaan tersebut meletup dan terbakar.

Kira-Kira 20 saat kemudian, Raybe Oh kelihatan dalam video itu. Beliau dilihat berlari ke arah kereta yang sedang terbakar dan terus masuk ke dalam api yang sedang marak.

Beliau muncul 10 saat kemudian dalam keadaan badannya dijilat api dan dilihat berlari ke arah beberapa rumah kedai yang terletak bertentangan dengan jalan sempit dua lorong itu.

Menurut akhbar itu, Oh, 26, seorang bekas pramugari, kini dalam keadaan kritikal di Hospital Besar Singapura dan beliau dilaporkan mengalami kelecuran teruk pada 80 peratus badannya.

Kereta yang terbakar itu dipandu oleh tunangnya, Jonathan Long, 29, dan turut dinaiki empat rakan lelaki tersebut iaitu Eugene Yap, 29; Elvin Tan, 28; Teo Qi Xiang, 26; dan Gary Wong, 29.

Akhbar The Straits Times melaporkan bahawa ia telah melihat enam klip video berhubung nahas itu antara 5.24 pagi dan 5.50 pagi.

Kereta BMW itu telah dilihat melakukan tiga pusingan di jalan yang sama sebelum hilang kawalan dan terbabas semasa pusingan keempat.

Kereta itu dilihat dipandu lebih perlahan pada pusingan sebelumnya. ― Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu