Nation
481

Transformasi kepada bandar rendah karbon bangunkan ekonomi hijau tempatan : PM

Putrajaya – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata transformasi bandar di Malaysia kepada bandar rendah karbon akan membangunkan ekonomi hijau tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan serta menarik minat pelaburan domestik dan antarabangsa.

Semasa merasmikan Persidangan Bandar Rendah Karbon Malaysia secara dalam talian hari ini, Muhyiddin berkata antara sektor yang akan mendapat manfaat daripada usaha tersebut adalah sektor tenaga lestari, mobiliti rendah karbon, pengurusan sisa dan kitaran semula serta kecekapan air.

Beliau berkata bagi memperkukuhkan kerangka pelaksanaan inisiatif rendah karbon dengan lebih sistematik serta mencapai sasaran pengurangan karbon yang jelas, Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara dilancarkan hari ini bagi memberi panduan yang lengkap kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membangunkan bandar rendah karbon di kawasan pentadbiran masing-masing.

“Proses peralihan dan transformasi bandar rendah karbon bakal memberi impak yang positif kepada kita semua dalam mengurangkan kesan perubahan iklim,” katanya.

Teks ucapan Muhyiddin dibacakan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Memetik kertas kerja bertajuk ‘Accelerating Low Carbon Development in the World’s Cities’ oleh Global Commission on the Economy and Climate, Muhyiddin berkata analisis menunjukkan langkah bandar rendah karbon mewakili peluang ekonomi berjumlah US$16.6 trilion di seluruh dunia berdasarkan hanya kepada penjimatan tenaga yang boleh diperoleh daripada pelaburan rendah karbon.

Muhyiddin berkata pelbagai usaha telah dilaksanakan sejak 2011 melalui pelaksanaan Rangka Kerja Bandar Rendah Karbon (LCCF) untuk memberi sokongan kepada PBT di peringkat negeri dan perbandaran dalam menjayakan agenda bandar rendah karbon.

Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) berjumlah RM35 juta juga telah dilancarkan sebagai langkah galakan dan sokongan kepada PBT untuk melaksanakan inisiatif bandar rendah karbon berimpak tinggi, katanya.

Beliau berkata peranan PBT amat penting dalam merancang pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur persekitaran sesebuah bandar dan PBT juga membantu dalam melaksanakan inisiatif pelestarian persekitaran peringkat kebangsaan dan tempatan.

“Sebagai entiti yang berada di peringkat pentadbiran yang paling dekat dengan rakyat, PBT perlu memainkan peranan yang penting dan aktif dalam mendidik, menggerak dan memberi respons kepada masyarakat serta mempromosi pembangunan yang mampan dan inklusif,” katanya.

Menurutnya, contoh bandar di dunia yang telah menerima pakai konsep bandar rendah karbon untuk mengurangkan impak perubahan iklim ialah Amsterdam, Copenhagen, Tianjin, Zhenjiang, Hong Kong dan Tokyo.

Menurutnya, penemuan Intergovernmental Panel on Climate Change yang menunjukkan sekiranya pelepasan gas rumah kaca berterusan pada kadar sedia ada, suhu bumi dijangka meningkat kepada 1.5 darjah Celsius antara 2030 dan 2052, secara tidak langsung akan menjejaskan ekosistem bumi seperti perubahan cuaca yang ekstrem.

“Di Malaysia, kita dapat lihat kadang kala kejadian musim kemarau dan hujan yang lebih panjang dan tidak menentu berlaku tanpa mengikut musim. Ketidakstabilan ini menyebabkan terjadinya krisis bekalan air dan kejadian banjir kilat yang buruk di beberapa buah negeri.

“Namun, kita tidak nafikan, kejadian fenomena ini turut disumbang oleh aktiviti ekonomi, pembangunan infrastruktur fizikal dan sosioekonomi yang tidak mampan,” katanya.

Muhyiddin berkata kerajaan telah mengambil langkah mitigasi dan adaptasi bagi mengurangkan impak perubahan iklim dan pemanasan global antaranya menggalakkan penjanaan tenaga boleh baharu dan amalan kecekapan tenaga.

Selain itu, katanya penggunaan kenderaan cekap tenaga juga digalakkan, pelaksanaan inisiatif bandar rendah karbon serta inisiatif mobiliti rendah karbon dan program menangani pencemaran sisa plastik sekali guna di bawah Pelan Hala Tuju Malaysia Ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030, lapor Bernama.

Tags: , , , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu