Kuala Lumpur Post

Social

Tuduhan cabul : Bekas ADUN Faiz Fadzil dilepas tanpa dibebas

SHAH ALAM — Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir Muhammad Faiz Fadzil hari ini dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret di sini daripada pertuduhan mencabul kehormatan seorang jurujual wanita, dua tahun lepas.

Peguam Surya Putra Mohamed Taulan, yang mewakili Muhammad Faiz, 46, berkata Majistret Mohamad Suffian Jaafar membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara telah menerima representasi yang difailkan pihaknya pada 17 Ogos lepas.

“Hari ini, representasi telah diterima oleh pihak pendakwaan dan mereka memohon mahkamah agar anak guam kami dilepas tanpa dibebaskan. Kami telah menghantar representasi sebanyak dua kali dan yang terbaharu bertarikh 16 Ogos,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kes itu masih di peringkat pengurusan dan perbicaraan belum lagi bermula.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria.

DNAA bermaksud tertuduh dilepaskan daripada pertuduhan yang sedang dihadapi namun dia boleh, pada bila-bila masa, dihadapkan semula ke mahkamah atas pertuduhan sama.

Pada 9 Jun 2021, Muhammad Faiz yang dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan itu mengaku tidak bersalah.

Dia didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa yang ketika itu berusia 31 tahun di dalam sebuah kereta dari pusat beli-belah Sunway Pyramid ke Subang Jaya antara 9.45 dan 11.30 malam pada 8 Mac 2021.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah) itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Tags: , ,