Politics
188

“Tujuan asal PPBM memang untuk musnahkan Umno”

Kuala Lumpur –  Puteri Umno meminta parti segera mengkaji keputusan yang dibuat untuk bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga parlimen dibubar atau tidak.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, ini berikutan tempoh parlimen akan dibubar tidak dapat dipastikan.

“Tak mustahil keadaan seperti ini akan diheret sehingga 2023.

“Lebih banyak kerosakan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat dan kita terpaksa pikul beban bersama,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Perhimpunan Puteri Umno sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Zahida berkata, Umno adalah parti besar dan mesti menjadi pemain utama dalam menentukan dasar serta masa depan negara.

Beliau berkata, Puteri Umno akan terus berjuang membela nasib orang Melayu membina negara berteraskan asas budaya, bahasa dan agama asal negara ini.

“Bagi kita No DAP, No PKR. Ia tak boleh dipertikaikan.

“Cuma kita hanya tambah satu lagi, No DAP, No PKR dan No PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Sebab kita tahu tujuan asal PPBM memang untuk musnahkan kita,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pergerakannya mendokong perubahan meletakkan peranan besar orang muda dalam mencorakkan masa depan negara termasuk undi 18 tahun dan pendaftaran automatik untuk mereka.

Menurutnya, tiada alasan melengahkan pelaksanaannya selain memasukkan sukatan apresiasi demokrasi seawal usia 16 tahun.

“Mereka mesti dididik untuk menilai ahli parlimen atau wakil rakyat yang baik. Mampu berhujah dengan tertib dan melaksanakan tugas serta tanggungjawab.

“Anak muda juga mesti dididik bagaimana kerajaan yang baik itu mampu melaksanakan janji-janjinya. Setiap janji mesti dikemukakan dengan cara pelaksanaannya. Anak muda mesti diajar membezakan apa itu politik populis dengan politik bertanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Puteri Umno bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan diberi tanggungjawab mengendalikan sistem maklumat data pengundi dan menjalankan penyelidikan mengenai sentimen pengundi.

Zahida berkata, Puteri Umno akan terus memupuk nilai politik murni dan membina kepimpinan serta perpaduan dalam kalangan parti. – Harian Matro

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu