Social
168

Tujuh PATI diburu polis

Papar – Polis sedang memburu tujuh pendatang tanpa izin yang melarikan diri dari Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Papar di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Papar DSP Batholomew Umpit berkata tahanan terbabit dipercayai melarikan diri pada 3.30 pagi dengan merosakkan siling tandas sebelum memotong jeriji pagar.

“Mengikut laporan awal, seramai 14 tahanan dilapor melarikan diri, bagaimanapun setakat 10.30 pagi tadi, tujuh daripada 14 tahanan terbabit ditahan semula,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata gerakan mengesan tahanan yang melarikan diri sudah dilancarkan sejak awal pagi tadi dan operasi itu turut dibantu oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Pasukan Gerakan Udara, unit anjing pengesan serta Pasukan Polis Marin.

“Sehubungan itu, kita memohon orang ramai supaya membantu menyalurkan maklumat untuk menangkap baki suspek yang melarikan diri,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan.

Batholomew berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah Polis Papar di talian 088-916 064 atau balai polis berhampiran, lapor Bernama.

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu