SEPANG — Seorang lelaki bergelar Datuk ditahan selepas didakwa merogol wanita yang mendapatkan khidmatnya sebagai tukang tilik.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata lelaki itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat mangsa semalam.
“Kita sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Suspek juga sudah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu media melaporkan niat seorang wanita untuk mendapatkan khidmat tilik nasib bagi mengubah kehidupannya bertukar episod malang apabila mengalami trauma selepas mendakwa menjadi mangsa rogol lelaki bergelar Datuk yang juga tukang tilik sejak setahun lalu.
Wanita berusia 24 tahun dikenali Linda itu berkata, dia pada mulanya terpedaya dengan perkhidmatan ditawarkan lelaki berkenaan menerusi iklan di media sosial bagi mengubah nasib hidupnya.
Sejak itu, lelaki berkenaan yang dipanggil ‘master’ beberapa kali memperdaya dan meyakinkannya bahawa dia adalah teman hidupnya dan perlu menjadi teman wanitanya sekiranya mahu mendapat nasib yang baik.