Kuala Lumpur Post

Social

Tulang ditemui di rumah terbiar sah milik Bella

BATU PAHAT — Polis mengesahkan beberapa tulang yang ditemui di kawasan rumah terbiar di Tongkang Pechah di sini pada 28 Feb lepas milik mangsa bunuh, Mila Sharmila Samsusah, dikenali sebagai Bella.

Pemangku Ketua Polis Batu Pahat Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, perkara tersebut disahkan Jabatan Kimia Johor melalui ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

“Ujian berkenaan mendapati (DNA) sepadan dengan tulang yang ditemui semasa awal proses siasatan kes pembunuhan Bella,” katanya dalam kenyataan.

“Pihak Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru telah dimaklumkan berkaitan keputusan itu bagi membolehkan waris Bella menuntut tulang tersebut.”

Sementara itu, kakak mangsa, Norhisham Samsusah ketika dihubungi menzahirkan kesyukuran kerana tulang arwah adiknya itu dapat disatukan kembali dengan anggota tubuhnya yang lain.

Menurutnya, tulang yang telah dituntut itu selamat dikebumikan di kubur Bella di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya pada 1 tengah hari tadi.

“Saya dimaklumkan oleh pegawai penyiasat untuk menuntut tulang itu semalam (Jumaat). Alhamdulillah akhirnya tulang Bella selamat dikebumikan,” katanya.

Pada 24 Jan lepas, teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz, 25, didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh wanita itu antara 11 malam, 14 Dis hingga 5.30 pagi, 15 Dis lepas di Kampung Parit Besar, dan juga di sebuah rumah terbiar di Tongkang Pechah.

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 19 Jan lepas, polis menemukan rangka manusia tidak lengkap di rumah terbiar tersebut selepas dipandu arah oleh suspek utama kes kehilangan Bella.

Ibu tunggal dua anak berusia 32 tahun itu dilaporkan keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada 11.50 malam, 14 Dis dengan hanya memakai baju kelawar untuk mencuci pakaian di kedai dobi berhampiran, dan gagal dihubungi sejak itu.