Kuala Lumpur Post

Social

Tun Daim akan didakwa Isnin ini

KUALA LUMPUR — Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini Isnin ini berhubung gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.

Daim berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil rakaman percakapan beliau, semalam.

“Semalam pegawai SPRM telah merakam kenyataan daripada saya. Peguam saya telah dimaklumkan bahawa saya akan didakwa pada hari Isnin (29 Jan) atas kesalahan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang adalah kesalahan yang berkaitan dengan pendedahan aset,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Daim, beliau bersedia menghadapi prosiding mahkamah.

Sementara itu, Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Daim ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

Pada Rabu, SPRM mengesahkan telah mendapat kebenaran untuk mendakwa Daim di mahkamah namun ia terpaksa ditangguhkan atas masalah kesihatan bekas Menteri Kewangan itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata agensi antirasuah itu mendapat lampu hijau daripada Jabatan Peguam Negara sejak minggu lepas.

“Saya mengesahkan kami terima kelulusan untuk mendakwa Daim seminggu lalu namun apabila pegawai kami memaklumkan perkara itu kepada peguamnya, mereka memberitahu beliau dimasukkan ke sebuah hospital swasta,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata semakan mendapati Daim, yang menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991, telah dimasukkan ke hospital lebih awal sebelum pihaknya mendapat kelulusan untuk mendakwa namun mereka tidak dimaklumkan mengenai alasan bekas menteri kanan itu menerima rawatan di hospital.

Sementara itu isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 23 Januari lalu atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Sebelum ini Nai’mah dan dua anak lelakinya hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan serta membantu siasatan agensi antirasuah itu terhadap Daim yang juga seorang ahli perniagaan.

SPRM turut menjelaskan bahawa siasatan ke atas Daim adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora iaitu pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara.

Menurut SPRM kertas siasatan bagi kes itu telah dibuka pada Februari tahun lalu.

Tags: , , ,