Nation
282

Tun M bincang 4 krisis ketika menghadap Agong

Kuala Lumpur – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memaklumkan beliau membincangkan empat krisis yang dihadapi negara ketika ini semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.

Presiden Pejuang itu berkata, hasil perjumpaan itu, beliau bersama-sama baginda mengenal pasti empat krisis berbeza iaitu yang pertama ialah krisis kesihatan berikutan wabak Covid-19 melanda negara ketika ini.

“Wabak ini telah menyebabkan lebih 600,000 orang telah berjangkit dan daripada jumlah itu lebih 3,000 telah meninggal dunia. Ia menunjukkan betapa seriusnya wabak ini di Malaysia.

“Saya juga membuat perbandingan kes Covid-19 di United Kingdom dan Amerika Syarikat, yang mana jumlah penduduknya ramai tetapi kematian akibat Covid-19 berkurangan,” katanya dalam sidang media secara langsung di Facebooknya tadi.

Selain itu katanya, beliau juga telah membincangkan mengenai ekonomi dan kewangan negara yang semakin teruk.

“Perkara ketiga yang dibincangkan juga berkenaan politik yang tidak stabil dan akhir sekali berkenaan dengan keadaan sosial penderitaan rakyat apabila kematian berlaku sehingga 3,000 akibat Covid-19, kes bunuh diri dan bermacam lagi masalah sosial.

“Begitu juga dengan masalah pendidikan di mana kita terhenti dua tahun, ini menunjukkan bahawa empat masalah berbeza yang dihadapi oleh kerajaan dan mereka tidak mampu untuk menanganinya,” jelasnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Langkawi, tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kira-kira pukul 1.58 tengah hari tadi.

Mahathir merupakan pemimpin parti politik yang ketiga menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini. — Kosmo Online

Tags: , ,

More Similar Posts

Most Viewed Posts
Menu